Topics / Issues
| Prosedur Mohon Nafkah Anak |
|
SOALAN : Saya dan bekas suami bercerai 3 tahun yang lepas. Kedua-dua orang anak kami yang berumur 2 dan 3 tahun ditinggalkan di bawah penjagaan saya. Oleh kerana suami sering abai membayar nafkah anak-anak, saya membuat tuntutan di Mahkamah Syariah. Mahkamah keluarkan perintah supaya dia membayar RM500 seorang setiap bulan untuk anak-anak kami. Pada mulanya dia ikutlah perintah mahkamah tapi lama kelamaan, anak-anak pun tak pernah dia jenguk apatah lagi memberi nafkah. Sekarang sudah hampir 2 tahun dia tak beri nafkah kepada anak-anak. Apa lagi yang saya boleh lakukan sekarang? Salmah Hassan Melaka. JAWAPAN : Tindakan bekas suami puan yang sengaja tidak membayar nafkah anak-anak walaupun ada perintah dari Mahkamah bukan sahaja satu tindakan yang tidak bermoral, ia juga menyalahi undang-undang dan merupakan satu kesalahan yang serius dari segi undang-undang dan juga hukum syarak. Di dalam surah al-Baqarah ayat 223, Allah saw berfirman bahawa “…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil…” Menurut perundangan Islam di Malaysia, telah dinyatakan dengan jelas dan terang bahawa adalah merupakan kewajipan bapa untuk menanggung anak-anak. Seksyen 73(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2004 memperuntukkan bahawa “Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.” Atas dasar inilah Mahkamah telah mengeluarkan perintah pembayaran nafkah kepada anak-anak puan. Namun, jika bekas suami mengingkari perintah tersebut, tindakannya merupakan satu penghinaan kepada Mahkamah. Seksyen 133 memperuntukkan jika seseorang yang telah dengan sengaja cuai mematuhi perintah, Mahkamah boleh, mengarahkan supaya dia dikenakan denda atau boleh dipenjara. Tetapi puan hendaklah membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah yang mengeluarkan perintah nafkah tersebut bagi tujuan ini. Selain daripada itu, puan juga boleh membuat permohonan kepada Mahkamah untuk satu pelaksanaan perintah bagi mendapatkan hak anak-anak puan. Perintah pelaksanaan ini adalah untuk memastikan bahawa perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah sebelum ini dilaksanakan oleh bekas suami puan yang akan dikuatkuasakan oleh Mahkamah. Bagi mendapatkan perintah ini, Enakmen Tatacara Mal Negeri Melaka 2002 perlulah dirujuk. Di bawah Aturan 159 Enakmen Tatacara Mal Negeri Melaka 2002 tersebut dinyatakan bahawa tindakan penguatkuasaan penghakiman dan jenis perlaksanaan boleh dibuat melalui satu atau lebih daripada cara-cara berikut:- 1. Perintah penyitaan dan penjualan 2. Prosiding garnismen 3. Perintah pengkomitan 4. Perintah penahanan pendapatan Oleh yang demikian, puan mempunyai pilihan untuk membuat permohonan yang difikirkan paling sesuai dan efektif terhadap suami puan. Jenis-jenis perlaksanaan ini adalah antara tindakan yang boleh diambil oleh Mahkamah agar perintah dipatuhi oleh bekas suami. Bekas suami puan wajib untuk mematuhi mana-mana penghakiman yang telah dikeluarkan. Prosiding-prosiding di atas boleh membantu puan dan sekiranya puan mengetahui kedudukan harta yang dimiliki oleh bekas suami atau jumlah pendapatannya. |
| < Prev | Next > |
|---|









