Anak Dilarikan - Ugutan Suami Jika Lapor Polis
4 Mac 2005
Soalan:
Saya telah berkahwin selama 15 tahun dan selama itulah saya menjadi mangsa sepak terajang suami. Suami tidak perlukan alasan untuk memukul saya.
Saya dijadikan tempat suami melepas geram apabila dia ada masalah di pejabat, masalah dengan keluarga atau apa-apa saja. Saya sudah tidak sanggup lagi menanggung seksa ini. Saya pernah membuat laporan polis tetapi selepas disoal polis, semakin teruk saya dipukul. Saya tidak berani lagi membuat laporan polis kerana suami telah mengugut akan melarikan anak jika saya melakukannya. Saya juga pernah mengadu ke pejabat agama dahulu tetapi mereka suruh saya bersabar. Apa yang boleh saya lakukan sekarang? Tolonglah saya.
- Cek Mek Molek, Kelantan.
Jawapan:
Asas perhubungan di antara lelaki dan wanita boleh didapati di dalam beberapa ayat dalam al-Quran seperti: ``...agar mereka saling menyayangi dan mengasihani'' (Surah Ar-Rum, Ayat 21), ``lengkap-melengkapi'' (surah Ali Imran, ayat 195) dan ``bahawa lelaki dan wanita adalah pelindung antara satu dengan yang lainnya'' (surah At-Taubah, ayat 71).
Keganasan tidak terdapat di dalam definisi perhubungan suami isteri. Ramai yang mengatakan bahawa surah An-Nisa, Ayat 34 membenarkan suami memukul isterinya. Ayat tersebut juga ada menyatakan bahawa suami harus melakukan beberapa perkara sebelum dibolehkan memukul isteri.
Suami wajib menasihati isteri. Sekiranya perkara ini gagal, maka orang tengah harus dilantik untuk cuba membaiki keadaan. Orang tengah yang dilantik haruslah dipersetujui antara suami isteri dan tidak berat sebelah. Perkara ini juga adalah arahan surah An-Nisa ayat 35 dan 128.
Sekiranya keharmonian rumah tangga masih belum diperoleh maka suami bolehlah mengasingkan dirinya dari tempat tidur. Perkara ini juga merupakan masa bagi pasangan untuk `menyejukkan' keadaan dan diri masing-masing.
Apabila proses yang tersebut telah dituruti oleh suami maka selalunya adalah tidak perlu bagi suami untuk memukul isteri. Ini adalah kerana suami tidak lagi dikuasai dengan perasaan marah dan boleh mengawal dirinya untuk berfikiran rasional.
Terdapat beberapa hadis yang boleh kita gunakan bagi meneliti maksud pukul. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Tirmidhi, Abu Daud, Nasar dan Ibn Majah, pukul yang terdapat di dalam ayat tersebut adalah pukul yang tidak boleh meninggalkan kesan (ghayr mubarrih). Tabari dan Razi pula meriwayatkan bahawa pukulan tersebut hanyalah satu aksi simbolik dan hanya dilakukan dengan berus gigi atau sapu tangan. Imam Shafie juga berpendapat bahawa aksi memukul haruslah dijauhkan sama sekali.
Tiada satupun riwayat atau ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah memukul isteri-isterinya. Malah terdapat banyak riwayat yang menceritakan keprihatinan Baginda dalam perhubungan suami isteri dan sifat kasih sayang Baginda.
Bukti
Oleh itu boleh disimpulkan di sini bahawa tindakan suami puan adalah amat bertentangan dengan hukum Islam. Puan boleh merujuk surah An-Nisa ayat 35 dan ayat 128, mengadu kepada seseorang yang dipercayai untuk cuba membaiki keadaan. Puan juga boleh menghubungi persatuan wanita yang boleh memberi khidmat kaunseling kepada puan, suami dan anak-anak.
Perlu dinyatakan di sini bahawa walaupun anak-anak tidak dipukul oleh suami mereka mungkin mempunyai impak dari segi mental dan adalah amat baik sekiranya mereka juga diberi kaunseling. Jabatan Agama juga boleh memberi khidmat kaunseling ini. Puan boleh pergi semula ke Jabatan Agama dan meminta untuk berjumpa dengan kaunselor yang lain daripada yang telah puan temui.
Sekiranya puan mahu bercerai salinan laporan polis yang pernah puan buat dahulu, laporan kaunseling bersama persatuan wanita dan Jabatan Agama, boleh digunakan sebagai bukti bahawa suami puan sememangnya pernah memukul puan. Puan juga boleh memanggil saksi, sama ada orang tengah yang telah berusaha mendamaikan rumah tangga atau sesiapa yang mengetahui mengenai masalah puan.
Puan boleh memohon cerai secara fasakh menurut seksyen 38 Enakmen Keluarga Islam (Kelantan) 1983. Walaupun seksyen ini tidak secara khusus meletakkan penderaan atau pukulan sebagai alasan fasakh tetapi kita boleh menggunakan seksyen 38(f) yang menyatakan bahawa isteri boleh menggunakan alasan-alasan lain yang mengikut hukum syarak bagi meminta fasakh. Oleh itu puan boleh menggunakan alasan deraan.
Walaupun suami mungkin tidak sentiasa memukul puan, kekerapan bukanlah satu unsur yang harus dibuktikan dalam permohonan ini. Ini adalah selaras dengan kes Hairun lawan Omar (1990) 8 JH (2) 298. Jawatankuasa Rayuan Syariah telah memutuskan kes penganiayaan fizikal seperti memukul, walaupun ia tidak lazim adalah mencukupi untuk membuktikan penganiayaan terhadap isteri.
Kita juga boleh merujuk kes di Terengganu iaitu kes Hasnah lawan Zaaba (1995) 10 JH 59. Isteri telah memohon fasakh atas alasan suami sentiasa menyakiti dan menjadikan hidupnya terseksa. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan dan telah membenarkan permohonan isteri.
- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my