Tuntutan mutaah - bersandarkan hukum Syarak
8 April 2005
Soalan:
Perceraian saya dan bekas suami (K) telah disahkan di mahkamah. Perkahwinan kami telah bertahan selama 15 tahun dan ada tiga orang cahayamata. Saya kini sedang dalam proses untuk menuntut mutaah. K telah memberitahu saya bahawa dia hanya akan membayar RM500 sebagai mutaah. Menurutnya mutaah ini bukan menurut hukum Syarak dan hanya adat melayu. Di negara Islam lain, tiada bekas isteri yang dapat mutaah dan ia hanya ada di Malaysia. Dia juga berkata bahawa bayaran RM500 dah lebih daripada cukup. Saya kini menjadi ragu-ragu, adakah apa yang K katakan itu benar? Bolehkah saya menuntut mutaah?
- Salamiah Hamid, Cheras
Jawapan:
Selain daripada hak menuntut nafkah, seorang isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian saguhati. Hak itu bersandar kepada surah al-Baqarah, ayat 241 yang bermaksud, ``Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib bagi orang-orang yang bertaqwa.''
Juga dalam ayat 236 yang bermaksud,
``...Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi muta'ah (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu)...''
Daripada dua ayat ini, ternyata mutaah yang menjadi hak isteri adalah bersandarkan kepada hukum Syarak.
Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah. Selepas mendengar tanpa sebab yang patut, Mahkamah boleh memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum Syarak.
Dalam kes di Pulau Pinang, Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978) 1 JH (2) 63, Mahkamah berpendapat bahawa mutaah bertujuan menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas untuk memulakan hidup baru tanpa suami.
Selanjutnya, ayat 236 menerangkan bahawa kadar mutaah yang berpatutan hendaklah ditentukan menurut kemampuan suami.
Kemampuan
Tentang kemampuan suami ini, kita boleh merujuk kepada Tengku Anun Zaharah lwn Datuk Dr. Hussein (1980) 3 JH 125 yang mana peguam pihak isteri telah merujuk kepada Kitab al-Ehwal Shaksiah fi Ahkam zaujat watalaq yang ada menerangkan bahawa apabila Sayidinna Hassan bin Abi Talib menceraikan isterinya, beliau telah menghantar 10,000 dinar kepada bekas isterinya sebagai bayaran mutaah. Jika pada zaman itu jumlah sedemikian boleh dibayar sebagai mutaah, maka jumlah $25,000 yang diminta sekarang tidaklah begitu tinggi memandangkan kemampuan dan keupayaan pihak suami. Dalam kes ini, Mahkamah Kadi Besar Selangor telah membenarkan tuntutan itu.
Dalam kes Noor Bee di atas, Mahkamah juga telah mengambil kira pengorbanan oleh isteri sepanjang perkahwinannya selain daripada kemampuan suami dalam memutuskan kadar mutaah yang patut diberikan kepada isteri.
Dalam permohonan mutaah kepada Mahkamah, puan boleh mengambil kira perkara-perkara seperti jumlah pendapatan taraf hidup, umur, kesihatan dan hal ehwal kewangan puan dan bekas suami, tempoh perkahwinan dan keadaan perceraian tersebut berlaku untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam menentukan jumlah yang wajar dan patut diberikan kepada puan.
Memandangkan mutaah ini bersandarkan kepada hukum Syarak, maka peruntukan tentang mutaah bukan sahaja terdapat di Malaysia. Terdapat juga negara-negara Islam lain yang memberi hak mutaah kepada isteri yang diceraikan. Di Indonesia misalnya, ada diperuntukkan tentang mutaah wajib dan mutaah sunat. Juga di negara Asia Barat, undang-undang di Jordan, Syria, dan Mesir berpendapat bahawa pihak isteri berhak untuk mendapat bayaran pampasan iaitu mutaah apabila diceraikan oleh suami tanpa sebab yang patut atau munasabah.
- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my