Isteri Tuntut Cerai Taklik
9 Disember 2005
Soalan:
Saya telah membuat permohonan cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah. Puncanya, suami saya telah berpindah ke Kuala Lumpur sejak pertengahan Januari 2005 lagi dan tidak pernah pulang menjenguk kami anak-beranak, apalagi memberi nafkah sehingga hari ini. Dia tidak mahu memberikan alamat tempat tinggal dan kerjanya walaupun puas saya meminta.
Saya telah diminta hadir ke mahkamah untuk perbicaraan. Saya ingin meminta nasihat daripada pihak puan, apakah agaknya soalan yang akan dikemukakan kepada saya dan apa yang harus saya buat sekiranya suami tidak hadir.
Saya juga ingin tahu bolehkah saya membuat tuntutan hak penjagaan anak sepenuhnya? Perlukah saya membawa saksi semasa perbicaraan nanti?
- Munirah Amir, Selangor
Jawapan:
Asas cerai taklik ialah janji yang telah dibuat oleh pihak suami bahawa isteri berhak mendapat cerai dalam keadaan tertentu. Misalnya, jika suami telah melanggar syarat yang dipersetujui oleh suami isteri dalam perjanjian perkahwinan.
Secara amnya, mahkamah akan merujuk kepada sijil nikah puan yang menyatakan syarat taklik tersebut. Kemudian mahkamah akan menentukan sama ada syarat taklik telah dipenuhi. Dalam menentukan sama ada syarat taklik dipenuhi, mahkamah mungkin akan bertanyakan tentang tempoh suami telah meninggalkan puan, dan sama ada nafkah diberikan oleh suami atau tidak.
Seterusnya, mahkamah akan meminta suami membuat pengakuan atas tuntutan puan atau menafikannya. Sebagai persediaan, kami nasihatkan puan supaya membawa saksi semasa perbicaraan itu nanti untuk menyokong tuduhan puan. Bukti yang berkesan ialah bukti yang disokong.
Mahkamah akan melihat kepada faktor-faktor penting dalam permohonan puan seperti bukti-bukti yang kukuh, suami tetap tidak hadir walaupun sudah dimaklumkan tentang perbicaraan, suami sengaja hendak melengah-lengahkan perbicaraan dan sebagainya. Yang menjadi teras ialah keadilan bagi kedua-dua pihak.
Setelah melihat kepada fakta-fakta dan bukti-bukti, mahkamah akan memberi keputusannya berdasarkan bukti-bukti yang telah dibentangkan walaupun suami langsung tidak hadir. Berkenaan hak penjagaan anak, Seksyen 82(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, menyatakan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak menjaga anak kecilnya. Berdasarkan Seksyen 87(2), mahkamah akan mengambil kira kebajikan anak itu dalam menentukan hak penjagaannya. Kebiasaannya mahkamah akan memberikan hak tersebut kepada ibu kerana ibu adalah orang yang paling rapat dengan anak.
Tempoh penjagaan seorang anak seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 85(1) adalah ditetapkan sehingga ia mencapai umur tujuh tahun jika kanak-kanak itu lelaki dan umur sembilan tahun jika kanak-kanak itu perempuan.
Mahkamah juga boleh melanjutkan tempoh tersebut sehingga anak berusia sembilan tahun jika kanak-kanak itu lelaki dan umur sebelas tahun jika kanak-kanak itu perempuan.
Seterusnya, setelah tempoh penjagaan itu tamat, penjagaan akan diserahkan kepada bapa dan sekiranya anak itu telah mencapai umur mumayyiz (kecerdikan), iaitu umur matang untuk membuat keputusan, maka anak tersebut berhak menentukan dengan siapa dia ingin tinggal.
- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my