Suami Nafi Lafaz Talak Tiga
10 Jun 2005

Soalan:

Suami saya pada minggu lalu telah melafazkan, ``kalau macam ni, kita bercerai saja dah susah sangat tak payah balik semulalah, terus talak tiga! Sekarang suami mengatakan bahawa dia tak ada maksud langsung nak becerai, apalagi dengan talak tiga. Dia kata saya yang salah dengar. Saya rasa saya dengar dengan jelas sekali. Saya bukannya kurang pendengaran. Saya mahu merujuk ke Jabatan Agama tapi dia kata tidak payah sebab memang dia tidak lafaz. Suami kata kalau pergi pun tak guna sebab Jabatan Agama akan bertanya suami tentang lafaz dan dia akan cakap yang dia memang tak lafaz. Saya kini serba-salah. Saya sekarang sudah bercerai atau belum?
- Sufiah Adora, Kuala Terengganu

Jawapan:

Perceraian bukanlah satu perkara yang mudah, terutama sekali apabila ia dilakukan di luar mahkamah. Lafaz cerai yang dinyatakan oleh suami sepatutnya dilakukan dengan jelas agar tidak timbul keraguan mengenai niat suami untuk bercerai . Lafaz yang tidak jelas bukan sahaja menimbulkan keraguan tetapi juga boleh disalah-gunakan oleh suami.

Cara bercerai yang disarankan ialah dengan cara yang maaruf, seperti seruan Allah dalam surah al-Ahzab ayat 49, ``dan lepaskan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.'' Oleh itu bercerai melalui mahkamah syariah adalah cara yang patut dilakukan oleh suami dan bukan melafaz cerai tanpa kebenaran.

Dalam perundangan Islam di Malaysia, tiada dinyatakan dalam mana-mana akta atau enakmen negeri mengenai kesan talak tiga yang dilafazkan pada satu masa oleh suami. Oleh itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk merujuk kepada hukum syarak.

Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan bahawa di zaman Rasulullah s.a.w. talak tiga yang dilafazkan pada satu masa sentiasa dikira sebagai satu talak. Hadis-hadis ini yang disusun dalam Sahih Muslim dan antaranya adalah:

Dari Ibn Abbas diriwayatkan: ``Adalah talak di masa Rasulullah s.a.w, Abu Bakar dan dua tahun permulaan Khalifah Umar talak tiga kali sekali gus dihitung satu kali. Lalu Umar ibn Khattab berkata ``Sesungguhnya orang-orang telah terburu-buru dalam perkara di mana yang baik bagi mereka adalah dilambatkan dan difikir secara mendalam. Alangkah baiknya kalau kita tetapkan saja hukum talak tiga ke atas mereka.'' Lantas diteruskan hukum atas mereka.

Tetapi ada juga riwayat dalam beberapa hadis yang menyatakan lafaz talak sekali gus yang dikira sebagai tiga talak oleh Rasulullah s.a.w., misalnya:

Adalah diriwayatkan oleh Hassan bahawa Abdullah bin Umar melafazkan satu talak ke atas isterinya semasa isterinya dalam masa haid, dan hendak melafazkan dua talak seterusnya dalam masa Tuhr (tempoh suci dari haid) yang berikut. Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar hal ini, Baginda bersabda: ``Ibn Umar, Allah tidak menyuruh perceraian cara ini. Cara ini bertentangan dengan sunnah. Cara yang sepatutnya ialah kamu menunggu tempoh Tuhr untuk melafazkan talak dan kemudian membuat satu lafaz talak dalam setiap Tuhr.''

Abdullah bin Umar kembali kepada isterinya mengikut perintah Rasulullah s.a.w., kemudian Nabi bersabda: ``Tidak, apabila isterimu itu telah bersuci, kamu bolehlah menceraikannya atau pun tidak.'' Ibn Umar berkata, ``Wahai Rasulullah, sekiranya aku sudahpun melafazkan tiga lafaz talak, bolehkah aku dibenarkan kembali kepada isteriku?'' Rasulullah bersabda, ``Tidak, perceraian itu akan menjadi perceraian yang tidak boleh dirujuk, tetapi kamu telah melakukan dosa kerana melafazkan talak dengan cara yang tidak patut.''

Apabila berhadapan dengan kes-kes di mana suami melafazkan talak lebih daripada yang sepatutnya, Rasulullah s.a.w. akan menghakimi kes berdasarkan tujuan atau niat suami sewaktu melafazkan talak. Kebanyakan ulama bersependapat bahawa talak tiga yang dilafazkan pada satu masa adalah di bawah kategori talak bidaat iaitu talak yang tidak menurut sunnah walaupun adalah sah di sisi syarak. Cara terbaik bagi melafazkan talak adalah dengan adab dan menurut perundangan.

Kesalahan
Melafazkan talak di luar mahkamah merupakan satu kesalahan di Malaysia. Seksyen 121 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Terengganu) 1985 menyatakan bahawa jika seorang lelaki melafazkan talak di luar mahkamah, dia boleh didenda tidak lebih RM500 atau penjara tidak lebih dari tiga bulan atau kedua-duanya.

Jadi, apa yang puan perlu lakukan ialah melaporkan kepada mahkamah syariah yang terdekat dengan tempat tinggal puan supaya perbicaraan pengesahan perceraian boleh dilakukan.

Puan dan suami akan dipanggil ke mahkamah dan dalam menentukan kesahihan lafaz, mahkamah akan meneliti dan mempertimbangkan semua keadaan dan bukti-bukti yang menunjukkan pensabitan atau gugurnya talak.
Ia bergantung kepada sempurnanya rukun talak iaitu suami, sighah (lafaz), qasad (niat), tempat ditujukan talak itu (isteri) dan kekuasaan suami ke atas isteri ketika menjatuhkan talak.

Mahkamah juga akan meneliti sama ada lafaz oleh suami adalah jelas atau `sarih'. Perkataan talak adalah salah satu daripada perkataan yang perlu jelas. Para fuqaha telah sepakat menyatakan bahawa talak boleh jatuh sama ada lafaz menggunakan bahasa Arab atau bahasa lain, tulisan ataupun isyarat. Jika lafaz itu adalah jelas atau `sarih' maka persoalan niat tidak timbul dan tidak perlu dibuktikan niatnya.

Tentang jumlah talak yang telah jatuh pula, ijmak ulamak bersetuju bahawa bilangan tiga talak itu akan sempurna sama ada seorang lelaki (suami) itu mentalak seseorang perempuan (isteri) satu persatu atau menghimpunkan ketiga-tiga dalam satu kalimah (ucapan).

Kes Zakaria Talib lwn Norziah Ahmad [2005] 1 CLJ (Sya) 132 bolehlah dijadikan pedoman di mana dalam kes ini suami telah melafazkan talak tiga sekali gus melalui surat dan hakim berpendapat bahawa talak tiga telah jatuh kerana lafaz telah jelas dan niat tidak perlu dibuktikan. Hakim juga tidak membenarkan suami sama sekali rujuk atau nikah semula dengan isterinya kerana talak yang boleh dirujuk hanyalah talak dua sahaja seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 229,
``Talak yang boleh dirujuk kembali itu hanya dua kali.''

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my