Lima Tahun Suami Abai Nafkah Anak
17 June 2005

Soalan:

Saya sudah bercerai 5 tahun yang lalu. Selepas satu tahun saya membuat tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah. Suami berjanji untuk memberikan RM250 untuk dua orang anak dan dia akan menziarahi anak seminggu sekali. Mula-mula, dia ikutlah perintah Mahkamah, tapi lama kelamaan, anak-anak pun tak pernah dia jenguk apatah lagi memberi nafkah. Sekarang dah masuk lima tahun dia tak beri nafkah anak-anak.

Amat sukar untuk saya membesarkan anak-anak, lebih-lebih lagi saya tidak bekerja sekarang. Anak-anak dah bersekolah, seorang darjah satu dan seorang tadika. Ibu dan abang sayalah yang menanggung perbelanjaan kami anak beranak.

Saya telah ke Biro Bantuan Pulau Pinang untuk mendapatkan bantuan. Biro tersebut menyuruh saya membuka kes baru. Masalahnya, berapa lama perlu saya tunggu dan adakah setiap kali bekas suami membuat masalah, saya perlu buka kes baru? Sudah setahun saya melaporkan hal ini kepada Biro tetapi balasan yang saya terima adalah mereka sedang menghantar surat. Apa yang perlu saya lakukan sekarang?
- Maznah Laili, Pulau Pinang.

Jawapan:

Tindakan bekas suami puan yang sengaja tidak membayar nafkah anak-anak walaupun ada perintah dari Mahkamah merupakan satu tindakan yang menyalahi undang-undang dan merupakan satu kesalahan yang serius dari segi perundangan Islam di Malaysia dan juga dari segi hukum syarak.

Menurut perundangan Islam di Malaysia, telah dinyatakan dengan jelas dan terang bahawa adalah merupakan kewajipan bapa untuk menanggung anak-anak. Seksyen 72(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang)1985 mengatakan bahawa ``Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.''

Atas dasar inilah Mahkamah telah mengeluarkan perintah pembayaran nafkah kepada anak-anak puan. Namun, jika bekas suami mengingkari perintah tersebut, tindakannya merupakan satu penghinaan kepada Mahkamah. Seksyen 132 Enakmen memperuntukkan jika seseorang yang telah diberikan perintah oleh Mahkamah kemudian dengan sengaja cuai mematuhi perintah, Mahkamah yang membuat perintah itu boleh, mengarahkan supaya orang itu dikenakan denda atau boleh menjatuhkan hukuman penjara kepadanya. Tetapi puan hendaklah membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah yang mengeluarkan perintah nafkah tersebut bagi tujuan ini.

Selain daripada itu, puan juga boleh membuat permohonan kepada Mahkamah untuk satu pelaksanaan perintah bagi mendapatkan hak anak-anak puan. Perintah pelaksanaan ini adalah untuk memastikan bahawa perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah sebelum ini dilaksanakan oleh bekas suami puan yang akan dikuatkuasakan oleh Mahkamah.

Bagi mendapatkan perintah ini, seharusnya Enakmen Tatacara Mal Pulau Pinang 1999 dirujuk. Di bawah Aturan 159 Enakmen Tatacara Mal Pulau Pinang 1999 tersebut dinyatakan bahawa tindakan penguatkuasaan penghakiman dan jenis perlaksanaan boleh dibuat melalui satu atau lebih daripada cara-cara berikut:-

1. Perintah penyitaan dan penjualan
Di mana Mahkamah boleh merampas dan menjual harta alih penghutang penghakiman (suami) itu, dan memberikan hasil jualan harta tersebut kepada anak-anak puan sebagai bayaran nafkah.

2. Prosiding garnismen
Di mana Mahkamah akan menahan harta alih kepunyaan penghutang penghakiman (suami) yang berada dalam pemilikan atau kawalan pihak ketiga, atau hutang yang perlu dibayar oleh pihak ketiga tersebut kepada penghutang penghakiman (suami); dan hasilnya akan diberikan sebagai bayaran nafkah anak-anak.

3. Perintah pengkomitan
Di mana Mahkamah akan merampas dan menyerah kepada pemiutang penghakiman (isteri) mana-mana barang yang diperintahkan supaya diserahkan oleh penghutang penghakiman (suami) kepada pemiutang penghakiman (isteri) sebagai bayaran nafkah anak-anak.

4. Perintah penahanan pendapatan
Di mana Mahkamah akan menahan pendapatan penghutang penghakiman (suami). Ini membolehkan anak-anak puan mendapat nafkah terus dari pemotongan gaji bekas suami puan.

Oleh yang demikian, puan mempunyai pilihan untuk membuat permohonan yang difikirkan sesuai dan efektif terhadap suami puan. Jenis-jenis perlaksanaan ini adalah antara tindakan yang akan diambil oleh Mahkamah agar perintah dipatuhi oleh bekas suami.

Untuk makluman puan, di bawah Aturan 147 Enakmen Tatacara Mal Pulau Pinang 1999 ini, bekas suami puan wajib untuk mematuhi mana-mana penghakiman yang telah dikeluarkan.

Prosiding-prosiding di atas boleh membantu puan dan sangat efektif sekiranya puan mengetahui kedudukan harta yang dimiliki oleh bekas suami atau jumlah pendapatannya.

Puan hendaklah duduk berbincang dengan peguam daripada Biro Bantuan Guaman yang telah dilantik untuk mengendalikan kes puan ini. Minta daripada peguam tersebut maklumat terkini tentang kes puan. Jika peguam memberitahu bahawa beliau telah pun menghantar surat, tanya kepada peguam itu butir-butir lanjut tentang surat itu seperti, surat itu ditujukan kepada siapa, isi kandungan surat itu, bilakah surat itu dihantar dan apakah tindakan susulan yang telah diambil oleh peguam puan.

Sangatlah penting bagi puan mendapatkan maklumat-maklumat ini agar puan dapat membuat keputusan tentang langkah-langkah yang boleh diambil seterusnya. Sentiasalah berkomunikasi dengan peguam puan kerana dia bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan puan dalam kes ini.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my