Nafkah Anak - Terhenti Setelah Suami Berpindah
21 Januari 2005

Soalan:

Saya telah bercerai pada tahun 1999. Saya mempunyai tiga orang anak. Mahkamah telah memberi saya hak penjagaan dan memerintahkan suami membayar nafkah secara potongan gaji. Pada tahun 2001, bekas suami telah berkahwin dan berpindah ke Sabah. Sejak dari itu nafkah anak telah terhenti.

1. Dan kini saya ingin membuat tuntutan nafkah tetapi malangnya saya tidak tahu siapa majikan sekarang.
2. Saya telah bertanya dengan saudara-mara bekas suami, malangnya mereka tidak tahu atau mungkin enggan bekerjasama.
* Saya pernah mengajukan soalan ini kepada bekas suami, tetapi dia berkata dia tidak ada duit dan tolong faham situasi dia sekarang.
3. Saya ada membuat aduan kepada Mahkamah syariah, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada alamat.
4. Malah saya telah dapat perintah Mahkamah untuk mendapatkan alamat majikan bekas suami melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekali lagi saya kecewa kerana pegawai berkenaan mengatakan mereka tertakluk kepada etika kerja dan segala maklumat adalah rahsia rasmi.
5. Dan kini saya akan membuka kes ini di Biro Bantuan Guaman tetapi peguam di sana mengatakan susah untuk berurusan sebab tiada alamat.
6. Oleh itu saya perlukan pandangan dan nasihat dari pihak tuan/puan mengenai masalah ini dan kepada siapa lagi perkara ini boleh dirujuk. Dan sekiranya bekas suami tidak bekerja, hidup atas ehsan isteri sekarang adakah dia terlepas dari tanggungjawab ini. Yang musykilnya, saya tengok dia sihat dan sesekali pulang ke Semenanjung dengan kapal terbang, kenapa dia kata dia tidak bekerja...
- Maria Suffian, Kuala Lumpur

Jawapan:

Nafkah seorang anak adalah merupakan hak anak tersebut. Adalah amat aib apabila seorang bapa yang mampu memberi nafkah, dengan sengaja tidak memberi nafkah. Walaupun anak kini di bawah jagaan ibu, tidak bermakna bapa boleh lari dari tanggungjawabnya. Nafkah tersebut adalah bagi anak dan sememangnya ia amat diperlukan. Malah ia juga boleh dianggap sebagai pengerat hubungan bapak-anak kerana ia menunjukkan bahawa bapa masih bertanggungjawab ke atas anak walaupun hubungan suami-isteri telah terputus.

Puan telah memberi kami Perintah Mahkamah yang puan terima, tetapi dokumen tersebut bukanlah suatu perintah yang perlu dipatuhi oleh KWSP. Dokumen tersebut hanyalah satu surat permohonan daripada Mahkamah meminta maklumat majikan bekas suami puan yang terkini. Oleh itu, seperti yang telah dinyatakan oleh pegawai KWSP kepada puan, pihak KWSP tidak perlu untuk mematuhi permohonan dan memberi maklumat yang dipinta.

Apa yang boleh puan lakukan sekarang (dengan anggapan bahawa bekas suami bekerja) ialah puan boleh memohon ke Mahkamah suatu Perintah terhadap KWSP untuk memberi alamat majikan yang terkini bekas suami puan. Ini adalah satu permohonan yang baru dan tidak berkaitan dengan perintah nafkah yang puan telah terima. Perintah ini boleh dipohon dengan merujuk kepada Aturan Aturan 244, Akta tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998, yang mana memperuntukkan bahawa Mahkamah mempunyai kuasa sedia ada untuk membuat apa-apa perintah bagi menegakkan keadilan.

Apabila perintah tersebut diperoleh, langkah berikutnya, puan perlu memohon kepada Mahkamah untuk mengubah perintah yang terdahulu supaya potongan gaji boleh dikuatkuasakan ke atas majikan terkini bekas suami puan. Ini adalah kerana jika puan merujuk kepada perintah yang telah puan peroleh, ia adalah kepada majikan dahulu. Oleh itu nama dan alamat majikan haruslah diubah. Permohonan ini boleh dilakukan di bawah seksyen 75 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang memberi Mahkamah kuasa untuk mengubah perintah nafkah anak-anak puan.

Sekiranya suami puan tidak bekerja (Seperti yang telah beliau maklumkan kepada puan) atau pun puan tidak dapat menghubunginya tidak bermakna tiada waris lain yang boleh membantu. Seksyen 73(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 boleh digunakan. Seksyen ini memberi Mahkamah kuasa untuk memerintahkan seseorang yang bertanggungjawab di bawah Hukum Syarak, membayar nafkah anak-anak puan.

Mereka adalah bapa saudara atau datuk dari keluarga bapa. Ini adalah kerana menurut Hukum Syarak, sememangnya terdapat seorang yang bertanggungjawab ke atas nafkah anak-anak. Ini juga adalah berkaitan dengan pemberian bahagian yang lebih besar kepada kaum lelaki dalam pembahagian harta. Oleh itu puan boleh memohon dengan alasan bahawa bapa kini tidak mampu untuk menyara anak dan oleh itu waris adalah bertanggungjawab.

Permohonan ini tidak bermakna bahawa puan tidak mampu untuk menjaga anak puan. Perkara ini adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh bapa dan jika dia enggan, waris harus menjalankan tanggungjawab tersebut. Sememangnya melecehkan dan mungkin mengambil masa untuk menuntut hak bagi pihak anak tetapi jika ia tidak dituntut anak hak anak tidak akan terlaksana.

Demi memastikan hak anak-anak puan terpelihara, dinasihatkan supaya puan membuat permohonan ini di Mahkamah dengan segera.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my