Suami Fail - Tuntutan Paksa Pulang
26 Ogos 2005

Soalan:

Setelah bertahun-tahun bersabar dengan kecurangan suami, saya akhirnya telah memberanikan diri memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah. Sudah tentulah semasa proses perceraian berjalan, saya tinggal bersama ibu bapa saya. Saya dah tak ada hati untuk tengok muka suami saya. Namun, dia, tanpa ada rasa perikemanusiaan, telah memfailkan satu tindakan di Mahkamah Syariah daerah lain untuk memaksa saya pulang bersamanya. Katanya, selagi perceraian belum disahkan di Mahkamah, dia masih ada hak ke atas saya. Saya mesti ikut perintahnya. Ada ke perintah yang sebegini? Sudahlah bertahun saya tersiksa dengan perangainya, kini saya terpaksa hadapi masalah ini pula. Adilkah ini? Apakah betul seorang isteri itu di bawah telunjuk suaminya, tanpa mengambil kira langsung perasaan seorang isteri itu?
-Leha Pilu,Kuala Lumpur

Jawapan:

Kesetiaan dan kejujuran amatlah penting dalam satu hubungan rumahtangga. Jika satu pihak tidak jujur dalam perkahwinan dan menyebabkan pihak yang satu lagi terluka, maka haruslah mencari jalan penyelesaian yang boleh mendamaikan suami, isteri dan keluarga. Sememangnya kita cuba berusaha untuk menyelamatkan sesuatu perkahwinan tetapi sekiranya ia memang tidak disenangi lagi oleh salah satu pihak maka haruslah menyatakan dengan cara yang wajar dan baik.

Tindakan puan yang menyalurkan proses perceraian ke Mahkamah Syariah sememangnya bukan perkara yang mudah. Sudah tentu puan mengambil masa yang panjang dan berfikir sedalam dalamnya sebelum mengambil tindakan yang sukar ini. Apa lagi kini puan sedang dibebani dengan tindakan suami yang cuba memaksa puan untuk kembali ke pangkuannya.

Permohonan yang dipohon oleh suami puan itu sebenarnya boleh didapati di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Seksyen 129 menyatakan bahawa jika seseorang wanita itu dengan sengaja tidak mematuhi apa-apa perintah suaminya yang sah di sisi hukum syarak, maka dia adalah bersalah di sisi undang-undang dan akan didenda tidak lebih dari RM100, atau jika ini merupakan kesalahan kedua atau seterusnya, akan didenda tidak lebih dari RM500.

Di sini adalah penting untuk kita lihat apa yang dimaksudkan dengan ``sengaja tidak mematuhi perintah suami'' menurut hukum syarak. Mengikut tafsiran Akta dalam seksyen 2, hukum syarak ditakrifkan sebagai perundangan Islam menurut mana-mana mazhab yang diiktiraf. Di Malaysia, mazhab-mazhab yang diiktiraf ialah mazhab Maliki, Hanafi, Hanbali dan Shafie.

Perkahwinan adalah satu kontrak suci yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Perlanjutan kontrak tersebut juga haruslah dengan rela hati suami isteri. Mana-mana pihak tidak boleh dipaksa untuk kekal dalam satu perkahwinan. Malah boleh dianggap zalim bagi sesiapa untuk memaksa isteri meneruskan sesuatu perkahwinan yang tidak diingininya. Suami haruslah mengenepikan keegoan dan menerima secara berani keputusan isteri yang sememangnya tidak mahukan perkahwinan tersebut.

Tidak wajib
Dalam prosiding yang dibawa oleh suami puan kelak, puan boleh menyatakan bahawa, mengikut hukum syarak, seorang isteri tidak wajib untuk menurut perintah suami yang sudah jelas dan nyata bukanlah orang yang baik-baik dari hukum Islam. Puan telah keluar rumah dengan cara yang baik dan kini sedang menetap di rumah ibubapa. Ini juga merupakan cara bagi puan untuk mendamaikan keadaan dan tidak meletakkan puan di dalam keadaan merbahaya. Puan telah lama berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan tetapi tidak berhasil kerana suami tetap dengan perangainya. Maka cara keluar rumah dan memfailkan perceraian adalah cara yang terbaik untuk mencapai kedamaian.

Puan harus mengemukakan apa-apa bukti-bukti kecurangan suami puan. Puan boleh mengemukakan saksi yang mengetahui tentang masalah puan selama ini dan apa-apa usaha kaunseling atau perdamaian yang telah dijalankan. Puan juga boleh menyatakan pada hakim bahawa puan telah memfailkan tuntutan perceraian dan tuntutan suami boleh dianggap sebagai satu helah untuk melambat-lambatkan pendengaran dan menekan puan untuk menarik balik tuntutan.

Undang-undang seperti ini harus dikaji semula kerana boleh disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Yang menjadi mangsa tentunya kaum isteri. Sudahlah terpaksa berhadapan dengan masalah perceraian yang merumitkan dan menyeksa jiwa, ada lagi masalah yang ditambah oleh suami untuk membalas dendam dan sengaja melambat-lambatkan proses perbicaraan di Mahkamah. Tidak sepatutnya ada paksaan bagi seseorang untuk kembali dalam sesuatu perkahwinan. Pernikahan adalah berlandaskan kasih-sayang dan perasaan cinta mencintai di mana kedua-dua pihak dengan rela hati mahu untuk meneruskan ijab kabul mereka. Memaksa seorang isteri untuk kembali bukanlah satu cara yang bijak dan adil.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my