Beza Hak Penjagaan dan Hadhanah
30 September 2005

Soalan:

Saya sedang dalam proses untuk mendapatkan hak penjagaan anak saya yang berumur lima tahun. Tuntutan saya ini tidak dipersetujui oleh bekas suami dan kami akan menghadapi perbicaraan tidak lama lagi. Saya telah diberitahu bahawa terdapat perbezaan di antara hak penjagaan dan hadhanah. Adakah ini benar? Apakah hak seorang penjaga dan hak seorang ibu yang menerima hak penjagaan. Adakah ini berbeza?
-Maimunah Syuaib

Jawapan:

Perbezaan tentang hak penjagaan dan hadhanah ini berlaku kerana ahli fuqaha membahagikan hak dan tanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak ini kepada hadhanah dan hak penjagaan.

Hadhanah dilihat sebagai hak ibu bapa terhadap jagaan anak atau hak anak terhadap asuhan dan didikan yang baik. Para fuqaha bersetuju bahawa untuk menentukan hak ini, kebajikan anak itu merupakan perkara utama dan penting yang harus dipertimbangkan.

Para fuqaha juga bersetuju bahawa hadhanah lebih sesuai diberikan kepada perempuan daripada lelaki, seperti ibu atau nenek. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud di mana Baginda bersabda kepada seorang perempuan yang diceraikan bahawa dialah yang lebih berhak kepada anaknya selama dia belum berkahwin lagi.

Manakala hak penjagaan ini merujuk kepada hak untuk mewakili. Ia di ambil dari perkataan arab ``waliya.'' Ini memberikan hak kepada salah seorang ibu atau bapa untuk membuat keputusan bagi pihak atau mewakili anaknya sama ada dalam perkara berkaitan dengan anak itu sendiri ataupun hartanya.

Ahli fuqaha berpendapat bapa lebih sesuai diberikan hak penjagaan. Namun mereka juga menyatakan bahawa hak ini bukanlah hak yang mutlak. Oleh itu, walaupun bapa telah diberikan hak penjagaan, hak ini bukanlah hanya kepada bapa semata-mata.

Dari segi perundangan di Malaysia, bapa merupakan penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa. Ini dapat dilihat dalam peruntukan seksyen 89(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003. Ini memberi maksud bahawa bapa mempunyai hak untuk membuat apa-apa keputusan yang melibatkan anak dan hartanya sebelum dia mencapai umur dewasa.

Antara hal-hal yang memerlukan kata putus daripada bapa ialah seperti hal pendaftaran kad pengenalan, pertukaran sekolah anak-anak, permohonan pasport. Hak penjaga ini adalah hak eksklusif seorang bapa. Ibu hanya boleh menjadi penjaga jika bapa telah melantiknya melalui wasiat ataupun terdapat perintah Mahkamah yang menyatakan bahawa ibu adalah penjaga anak itu.

Hak seorang ibu ke atas anaknya adalah melebihi hak bapa dalam hadhanah. Ini dinyatakan dengan jelas di bawah Seksyen 82(1) Enakmen, yang antara lain menyebut bahawa ibu adalah orang yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anaknya dalam masa ibunya masih dalam perkahwinan (belum bercerai) dan juga selepas perkahwinan dibubarkan (setelah bercerai). Dalam menentukan hak penjagaan ini, apa yang akan dilihat oleh Mahkamah ialah umur anak, karektor ibubapa dan yang paling penting ialah kebajikan anak itu. Seksyen 87(2) Enakmen menekankan tentang kebajikan anak.

Oleh sebab itu dalam seksyen 87(3) menyatakan bahawa adalah untuk kebaikan seorang kanak-kanak dalam masa dia kecil supaya berada bersama ibunya. Namun bagi anak yang telah mencapai umur mummayyiz, apabila Mahkamah merasakan bahawa dia bijak untuk memutuskan apa yang terbaik untuk dirinya, Mahkamah akan mengambil kira pandangannya.
Puan boleh memohon satu permohonan interim di Mahkamah Syariah. Ia bermaksud perintah hak penjagaan sementara dan akan berkuat kuasa sebelum perintah penjagaan diberi sepenuhnya. Permohonan ini adalah menurut seksyen 197 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003.

Oleh itu, anak akan bersama dengan puan sehinggalah keputusan muktamad diberikan oleh Mahkamah.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my