Suami tidak mampu bayar nafkah anak
4 Ogos 2006

SUAMI saya mempunyai dua orang anak dengan bekas isterinya, masing-masing berusia 10 tahun (perempuan) dan empat tahun (lelaki). Bekas isterinya mendapat hak penjagaan kedua-dua anak tersebut.

Nafkah anak ditetapkan oleh hakim sebanyak RM300 sebulan. Suami saya membayar setiap bulan, tetapi dengan memberikan wang tunai melalui bekas bapa mertuanya. Bekas isterinya telah mengambil satu tindakan mahkamah menuntut tunggakan nafkah anak.

Semasa perbicaraan, dua kali suami saya gagal hadir atas sebab-sebab yang tertentu. Mahkamah kemudiannya memerintahkan suami saya membayar tunggakan nafkah sebanyak RM400 sebulan. Mana suami saya ada duit dengan gaji kecilnya. Apa yang boleh kami buat untuk mengurangkan jumlah bayaran nafkah ini kerana dia masih ada satu lagi keluarga untuk ditanggung. Suami saya juga ingin mengambil anak perempuannya yang kini sudah berusia 10 tahun kerana dia sering mengatakan mahu tinggal bersama suami saya. Bantulah kami.

Hamidah Salim, Negeri Sembilan

Jawapan

Berkenaan dengan masalah bayaran nafkah anak, puan dan suami boleh membuat permohonan kepada mahkamah untuk mengubah perintah nafkah yang telah diberi sebelumnya. Suami puan hendaklah menunjukkan kepada mahkamah bahawa permohonan itu adalah berasas dan terdapat perubahan yang amat penting selepas perintah diberi.

Suami puan hendaklah menunjukkan bukti-bukti bahawa dia ada memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak serta surat dari majikan yang menyatakan pendapatan bulanan yang sebenar kepada mahkamah. Lazimnya, mahkamah yang akan menentukan jumlah apa-apa nafkah yang hendak dibayar berdasarkan kemampuan dan pendapatan suami, dan juga diseimbangkan dengan keperluan anak-anak.

Mahkamah mempunyai kuasa untuk memutuskan kes berdasarkan bukti-bukti yang telah dibentangkan kepadanya. Oleh sebab suami puan gagal untuk menunjukkan bahawa dia ada membayar nafkah seperti yang telah diperintahkan, maka mahkamah telah memutuskan supaya suami puan membayar tunggakan nafkah anak-anak seperti yang telah dipohon oleh bekas isterinya.

Bagi tuntutan hak penjagaan, menurut seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, ibu adalah yang paling berhak berbanding segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Seksyen 84 enakmen tersebut juga menggariskan situasi di mana hak seorang ibu terhadap hak penjagaan anaknya atau hadhanah boleh hilang sekiranya;

(a) Jika ibu itu berkahwin dengan sese

orang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu. Jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;

(b) Jika ibu itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;

(c) Jika ibu itu menukar pemastautinnya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;

(d) Jika ibu murtad;

(e) Jika ibu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Sekiranya puan dan suami ingin menggunakan mana-mana alasan yang telah dinyatakan, puan dan suami perlu mempunyai bukti yang kukuh untuk dibawa ke mahkamah.

Dalam menentukan hak penjagaan dan kehilangan hak yang telah diberikan, mahkamah akan mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan anak tersebut. Ini adalah alasan utama di dalam penghakiman yang menyatakan bahawa keutamaan akan diberikan kepada kesejahteraan anak tersebut.

Umur anak juga penting kerana menurut seksyen 85(1) Enakmen, hak penjagaan ibu terhadap anak itu akan tamat apabila anak itu mencapai umur tujuh tahun (bagi anak lelaki) dan sembilan tahun (bagi anak perempuan). Namun, mahkamah masih boleh membenarkan hak penjagaan itu diberikan kepada ibunya sehingga anak itu mencapai umur sembilan tahun (bagi anak lelaki) dan 11 tahun (bagi anak perempuan).

Seksyen 85(2) Enakmen menyatakan bahawa setelah hak penjagaan ibu tamat, maka hak tersebut akan jatuh kepada bapa. Jika anak itu telah mencapai umur mumaiyiz (umur kecerdikan), maka anak itu berhak untuk memilih sama ada mahu tinggal dengan ibu atau bapanya.

Oleh sebab anak perempuan suami puan menyatakan kemahuannya untuk tinggal bersama suami puan, mahkamah terlebih dahulu akan menimbangkan kebajikan kanak-kanak tersebut selain melihat kepada kemahuan anak itu. Jika berpuas hati, mahkamah akan memerintahkan supaya suami mendapat hak penjagaan.

Panel Peguam Sisters In Islam di alamat No.7, Jalan 6/10, 46000 Petaling Jaya atau telefon 03-7785 6121 pada hari Isnin dan Jumaat sahaja atau faks 03-7785 8737 atau e-mel: sistersinislam@pd. jaring.my