Hak isteri dalam kes rujuk
19 Mei 2006
Soalan:
Saya ingin bertanya tentang rujuk. Rujuk yang bagaimanakah yang dikatakan sah di sisi hukum syarak? Jika saya tidak mahu rujuk dengan suami, bagaimana?
- Sutra Kama, Kuala Lumpur
Jawapan:
Rujuk adalah satu proses di mana suami dan isteri berbaik semula setelah berlakunya perceraian. Suami hanya boleh merujuk kembali bekas isterinya jika isteri dicerai dengan talak satu atau dua ataupun dengan talak raj’ie.
Tempoh untuk rujuk adalah dalam tempoh iddah raj’ie. Tempoh edah bagi seorang wanita adalah selama tiga kali suci daripada haid. Jika sudah melampaui tempoh ini, pasangan yang hendak kembali bersama hendaklah membuat satu akad yang baru.
Selain daripada itu, apa yang penting dalam proses rujuk adalah persetujuan isteri yang hendak dirujuk itu. Rujuk tidak akan terjadi semata-mata hanya kerana suami mahu rujuk tetapi tidak mendapat persetujuan isterinya. Kerana itulah tandatangan kedua-dua suami isteri diperlukan dalam surat rujuk.
Jika isteri tidak bersetuju untuk rujuk maka Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk melantik satu jawatankuasa pendamai untuk mencuba mencari jalan perdamaian. Langkah ini haruslah dipohon oleh suami kepada Mahkamah Syariah.
Seksyen 51(9) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan: “Jika selepas talak raj’ie suami melafazkan rujuk tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap rujuk itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syarak, dia tidak boleh diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.’’
Dalam jawatankuasa pendamai, seorang pegawai agama akan dilantik. Puan dan juga bekas suami masing-masing boleh melantik sesiapa yang difikirkan sesuai untuk mewakili puan dan bekas suami.
Sekiranya jawatankuasa itu tidak dapat mencapai perdamaian, maka mereka akan mengeluarkan suatu perakuan mengenainya.
Jawatankuasa juga seharusnya melampirkan syor-syor mengenai nafkah, hak penjagaan anak-anak dan juga pembahagian harta sepencarian. Jawatankuasa juga boleh memberikan cadangan mengenai hal-hal lain yang berkaitan dengan perkahwinan tersebut.
Kita boleh merujuk kepada kes Noryati lawan Hamid (1990) 9 JH 117 di mana Lembaga Rayuan telah memberi garis panduan berkenaan rujuk yang boleh dikatakan sah dan berkuat kuasa di bawah undang-undang.
Dalam kes ini, Lembaga Rayuan telah mendapati bahawa suami gagal mengemukakan dua orang saksi yang adil yang menyaksikan lafaz rujuk itu. Ada ketidakpastian juga bilakah suami melafazkan rujuk, jika ada, sama ada sebelum atau selepas tamat edah isteri. Oleh kerana isteri juga tidak bersetuju kepada rujuk, Mahkamah tidak ada bidang kuasa mengarahkan Pendaftar mendaftarkannya.
Dapat kita lihat di sini bahawa Mahkamah mengambil berat tentang persetujuan isteri dalam kes rujuk perkahwinan.
Islam merupakan agama yang memberikan hak kesaksamaan kepada wanita. Tidak ada perbezaan antara lelaki dan wanita di sisi Allah. Maka, keputusan seseorang wanita yang berkaitan dengan kepentingan dirinya haruslah dihormati oleh semua pihak.
- Panel Peguam Sisters In Islam.
- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25, Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my