Keliru dengan tuduhan nusyuz
26 Mei 2006

Soalan:
SAYA dan suami sekarang sedang dalam proses perceraian. Saya telah membuat permohonan perceraian taklik atas alasan suami tidak memberi nafkah selama empat tahun dan sepuluh bulan. Namun, suami sengaja hendak melambat-lambatkan perceraian dan menuduh saya nusyuz pula. Saya amat keliru dengan tuduhan nusyuz ini dan bagaimanakah saya hendak menghadapinya? Bolehkah dia berbuat begitu?

- Kamilia Rosyam, Klang, Selangor

Jawapan:
Kita seringkali dihadapkan dengan persoalan nusyuz isteri. Isteri yang perlu tunduk kepada suami, isteri perlu ikut perintah suami, isteri harus itu, isteri harus ini. Jika tidak, isteri bukan seorang yang mukmin, bukan isteri solehah, dan macam-macam lagi. Justeru, kita dapat lihat bahawa nusyuz ini digunakan sebagai senjata untuk mengelak daripada membayar nafkah.

Oleh yang demikian, nusyuz tidaklah mungkin membawa pengertian tentang keengkaran isteri terhadap suaminya, sebagaimana yang sering disangkakan. Oleh itu, kedua-dua suami dan isteri adalah bertanggungjawab menjaga kerukunan rumahtangga.

Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003, seksyen yang berkaitan dengan nusyuz adalah berkenaan dengan peruntukan pemberian nafkah. Seksyen 60(2) memberikan definisi nusyuz itu sebagai enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain -

(a) Apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;

(b) Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau

(c) Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang mengikut hukum syarak.

Kesan seksyen ini adalah seorang isteri tidak berhak mendapat nafkah jika dia dibuktikan nusyuz.

Namun begitu, suami yang menuduh isterinya nusyuz perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa isterinya sememangnya nusyuz. Dalam kes Fakhariah Lokman lawan Johari Zakaria [2004] CLJ (Sya) 67, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah menyatakan bahawa walaupun isteri tidak lagi tinggal bersama suami itu, tetapi suami tidak membuat apa-apa aduan kepada Mahkamah bahawa isterinya nusyuz dan tidak mengambil langkah untuk mendapat perintah nusyuz dari mahkamah. Hakim juga berpendapat bahawa jika suami itu betul-betul ingin isterinya balik tinggal bersamanya, dia seharusnya berusaha supaya perkara itu dapat diselesaikan di luar atau di hadapan mahkamah.

Manakala dalam kes Abd Hanif Abdullah lawan Rabiah Bibi Labhu [200] CLJ (Sya) 1, Yang Amat Arif Hakim Sheikh Ghazali Abdul Rahman berpendapat bahawa,

"Taat merupakan salah satu hak yang diberi kepada seorang suami terhadap isterinya. Bagaimanapun, hak ini bukanlah mutlak yang tidak memerlukan apa-apa keperluan. Sebaliknya ia diberi dengan beberapa syarat. Antaranya ialah syarat-syarat yang berkaitan dengan tempat tinggal yang disediakan oleh suami. Syarat-syarat itu ialah:

1. Tempat tinggal yang disediakan adalah berasingan (dengan keluarga suami) dan sesuai dengan taraf kewangan suami;

2. Tempat tinggal itu sesuai dengan keadaan kedua-dua suami isteri dan dapat memberi perlindungan cukup untuk menjaga diri dan harta benda;

3. Cukup dan keperluan sebagai tempat tinggal seperti hamparan dan perabot;

4. Tempat itu lengkap dengan bahagian penting seperti bekalan air, tandas, dapur dan sebagainya.

5. Tempat itu tidak mendatangkan gangguan kepada isteri daripada sesiapa yang turut tinggal di situ;

6. Tempat itu diduduki oleh jiran-jiran yang seagama.

Di samping syarat-syarat berkaitan dengan tempat, ketaatan juga hendaklah didasarkan kepada adanya amanah si suami dalam menjaga keselamatan tubuh badan dan harta benda isteri dan si suami pula hendaklah terlebih dahulu menjelaskan kadar mas kahwin yang perlu dijelaskan dengan segera"

Surah al-Baqarah, ayat 231 menyatakan tentang adab perceraian. Sebahagian ayat ini yang bermaksud, "bolehlah kamu pegang mereka dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka; dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri."

- Panel Peguam Sisters In Islam.
- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25, Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my