Mahu jumpa anak lebih kerap
30 Jun 2006

Soalan:
SEMASA perceraian, suami saya telah mengugut akan memburuk-burukkan saya di hadapan Mahkamah dan anak-anak jika saya memohon hak penjagaan. Dahulu saya pernah bekerja sebagai seorang pelayan kelab malam.

Tetapi, selepas berkahwin, saya berhenti. Saya berjumpa dengan bekas suami saya pun di kelab malam tempat saya bekerja.

Katanya lagi dia akan memastikan saya langsung tak boleh berjumpa anak-anak. Kerana sayangkan anak-anak, dan juga takut dengan ugutan suami, saya terpaksa bersetuju. Saya hanya dibenarkan berjumpa anak-anak dua bulan sekali sahaja, itupun tidak bermalam. Tetapi kini saya mahu berada bersama anak-anak saya lebih kerap. Saya sudah ada pekerjaan tetap dan sudah mampu menyewa rumah. Apa yang boleh saya lakukan untuk selalu berjumpa anak-anak saya? Saya ibu mereka, saya juga ada hak ke atas mereka. Bantulah saya.

Kaseh Yong, Kuala Lumpur

Jawapan:

Perceraian hendaklah dilakukan dengan ihsan, seperti yang telah di perintahkan dalam surah al-Baqarah, ayat 229.
Tindakan bekas suami yang mengugut puan adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip ihsan dalam Islam.
Lagi pula, adalah sesuatu yang sungguh menyedihkan apabila menafikan kasih-sayang seorang ibu terhadap anaknya.

Hadhanah dilihat sebagai hak ibu bapa terhadap jagaan anak atau hak anak terhadap asuhan dan didikan yang baik. Ahli fuqaha bersetuju bahawa untuk menentukan hak ini, kebajikan anak itu adalah merupakan perkara utama dan penting yang harus dipertimbangkan.

Para fuqaha sebenarnya lebih memberatkan seorang perempuan seperti ibu atau nenek diberikan hak hadhanah daripada lelaki. Ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud di mana Baginda bersabda kepada seorang perempuan yang diceraikan bahawa dialah yang lebih berhak kepada anaknya selama dia belum berkahwin lagi.

Malah, jika kita rujuk kepada seksyen 82(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang menyatakan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak bagi menjaga anak kecilnya, tidak kira sama ada ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Namun begitu, Akta ini juga menyatakan bahawa hak hadhanah akan hilang jika:

(a) Ibu berkahwin lain dan perkahwinan baru itu akan menjejaskan kebajikan anak;

(b) Ibu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;

(c) Ibu sengaja berpindah untuk menafikan hak bapa terhadap anak; tetapi ibu boleh pulang ke kampong halamannya;

(d) Ibu murtad;

(e) Ibu mencuaikan atau menganiaya anak.

(seksyen 83 Akta)

Sekali lagi saya ingin tekankan di sini, pertimbangan utama adalah kebajikan anak itu. Walaupun sudah ada perintah persetujuan, namun, puan boleh memohon kepada Mahkamah untuk satu ubah perintah seperti yang telah diperuntukkan dalam seksyen 75. Puan haruslah menunjukkan kepada Mahkamah bahawa adalah demi kebajikan anak-anak puan supaya mereka lebih kerap meluangkan masa bersama puan.

Perubahan kepada umur anak-anak juga merupakan satu perkara penting yang Mahkamah boleh pertimbangkan untuk mengubah perintah yang sedia ada.

Seksyen 84 menyatakan bahawa apabila kanak-kanak itu sudah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), Mahkamah akan mengambil kira pandangan anak itu dalam membuat pilihannya, sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.

Kami amat memahami kebimbangan puan terhadap sejarah hidup puan. Kami juga amat prihatin tentang pandangan serong dan berat sebelah yang mungkin puan terima daripada pihak Mahkamah jika dibangkitkan oleh bekas suami.

Namun, puan juga berhak terhadap anak-anak, dan sebaliknya, mereka juga berhak mendapat kasih-sayang daripada ibu mereka. Menafikan hak anak-anak terhadap ibu mereka adalah bertentangan dengan kebajikan anak-anak itu.

Untuk membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak, adalah penting agar mereka mendapat perhatian daripada kedua ibu dan bapa, tidak kiralah walaupun ibubapa telah berpisah. Malah, adalah menjadi tugas utama Mahkamah untuk melihat kepada kebajikan anak tersebut.

Seharusnya dalam hal hak penjagaan anak-anak, kedua ibubapa hendaklah mengakui bahawa demi kepentingan anak-anak, kasih-sayang yang sama rata daripada ibu dan bapa adalah sama pentingnya. “Berebut anak’’ tidak akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak, terutamanya kepada anak itu. Haruslah ada kompromi antara ibubapa yang telah bercerai demi menjaga kepentingan anak-anak.

- Panel Peguam Sisters In Islam.
- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25, Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya, Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my