SOALAN
Sejak mendirikan rumah tangga suami saya seringkali membuat pelbagai ugutan dan tuduhan tanpa asas terhadap saya. Dia menuduh saya bermain kayu tiga dengan rakan sekerja saya, dia mengugut untuk tidak memberi nafkah bagi anak-anak dan macam-macam lagi.
Kami sudah beberapa kali mendapatkan khidmat kaunseling namun suami saya tetap kekal dengan sifatnya. Saya sudah tidak ada hati terhadapnya, sudah hilang rasa kasih sayang dan hormat saya kepadanya. Saya ingin bercerai secara damai tetapi suami tidak mahu melafazkan talak ke atas saya. Patutkah saya menahan hati dan perasaan? Sampai bila saya perlu hidup sebegini dan apa yang perlu saya lakukan?
- Siti Maryamah Osman, Taiping, Perak.
JAWAPAN
Melihat kepada situasi yang puan hadapi, satu jalan penyelesaian yang boleh puan ambil untuk berpisah dengan suami secara damai adalah dengan memohon ke mahkamah syariah untuk perceraian secara khuluk.
Perceraian khuluk yang juga dikenali sebagai cerai tebus talak adalah salah satu cara membubarkan perkahwinan di mana sejumlah wang dibayar oleh isteri kepada suami sebagai ganti kepada lafaz talak. Seksyen 46 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Perak) 1984 ada memperuntukkan bahawa seorang isteri boleh membuat permohonan perceraian khuluk jika suaminya tidak rela menjatuhkan talak ke atasnya.
Sekiranya suami puan tidak bersetuju bercerai dengan cara ini atau dia tidak hadir ke mahkamah syariah seperti yang diarahkan, mahkamah akan melantik satu jawatankuasa pendamai untuk mengadakan runding cara di antara anda berdua. Runding cara ini diadakan untuk memberi kaunseling agar puan dan suami berbaik semula. Jika jawatankuasa ini mendapati yang anda berdua memang tidak boleh terus hidup bersama, barulah suami puan akan dinasihatkan agar melafazkan talak ke atas puan.
Seperkara lagi, puan dan suami perlu mencapai persetujuan berkenaan jumlah wang yang perlu puan bayar kepadanya untuk bercerai dengan cara penebusan talak. Dengan kata lain, suami puan tidak boleh menuntut bayaran tebus talak sesuka hatinya. Jika puan dan suami gagal mencari kata sepakat, mahkamah syariah akan menaksirkan nilainya pada kadar yang berpatutan mengikut hukum syarak.
Taksiran ini dibuat dengan memberi pertimbangan kepada taraf hidup dan sumber kewangan puan dan suami puan.
Selepas jumlah bayaran tebus talak dipersetujui atau sekiranya mahkamah syariah telah menetapkan nilainya, suami puan akan diarahkan agar melafazkan talak ke atas puan. Talak ini adalah talak ba’in sughra iaitu tidak boleh dirujuk melainkan puan dan suami bernikah semula. Seterusnya, mahkamah syariah akan merekodkan perceraian ini dan menghantarkan sesalinan rekod yang diperakui kepada Pendaftar dan Ketua Pendaftar agar perceraian tersebut didaftarkan.
Info
Satu talian khusus untuk Legal Clinic Sisters In Islam yang dinamakan TeleNisa kini boleh
dihubungi melalui 03-7784 3733.
Legal Clinic ini juga boleh dihubungi melalui e-mel: sistersinis lamlegalclinic@yahoo.com.
Sisters In Islam
No 7, Jalan 6/10, 46000 Petaling Jaya, Selangor. Tel. No. 03-77856121/ 77842733
Fax No: 03-77858737
- *Nur Fadhlin Mohd Yusof Pegawai Undang-Undang Sisters In Islam.
(Original Version)
SOALAN
Sejak mendirikan rumahtangga, suami saya seringkali membuat pelbagai ugutan dan tuduhan tanpa asas terhadap saya: dia menuduh saya bermain kayu tiga dengan rakan sekerja saya; dia mengugut untuk tidak memberi nafkah bagi anak-anak dan macam-macam lagi. Kami sudah beberapa kali mendapatkan khidmat kaunseling namun suami saya tetap kekal dengan sifatnya. Saya sudah tidak ada hati terhadapnya, sudah hilang rasa kasih sayang dan hormat saya kepadanya. Saya ingin bercerai secara damai tetapi suami tidak mahu melafazkan talaq ke atas saya. Patutkah saya menahan hati dan perasaan? Sampai bila saya perlu hidup sebegini? Apakah yang perlu saya lakukan?
Siti Maryamah Osman, Taiping, Perak.
JAWAPAN
Melihat kepada situasi yang puan hadapi, satu jalan penyelesaian yang boleh puan ambil untuk berpisah dengan suami secara damai adalah dengan memohon ke mahkamah syariah untuk perceraian secara khul'.
Perceraian khul' yang juga dikenali sebagai cerai tebus talaq adalah salah satu cara membubarkan perkahwinan di mana sejumlah wang dibayar oleh isteri kepada suami sebagai ganti kepada lafaz talaq. Seksyen 46 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Perak) 1984 ada memperuntukkan bahawa seorang isteri boleh membuat permohonan perceraian khul' jika suaminya tidak rela menjatuhkan talaq ke atasnya.
Nas bagi perceraian khul' terdapat dalam surah Al-Baqarah, sebahagian ayat 229 yang bermaksud seperti berikut:
"Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika kedua-dua suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu. Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim."
Sekiranya suami puan tidak bersetuju bercerai dengan cara ini atau dia tidak hadir ke mahkamah syariah seperti yang diarahkan, mahkamah akan melantik satu jawatankuasa pendamai untuk mengadakan rundingcara di antara anda berdua. Rundingcara ini diadakan untuk memberi kaunseling agar puan dan suami berbaik semula. Jika jawatankuasa ini mendapati yang anda berdua memang tidak boleh terus hidup bersama, barulah suami puan akan dinasihatkan agar melafazkan talaq ke atas puan.
Berbeza halnya dengan situasi di Pakistan. Dalam satu kes Mahkamah Agung di sana (Abdul Rahim lwn Shahida Khan PLD 1984 SC 329), hakim telah memerintahkan suami isteri terbabit agar bercerai secara khul' walaupun pihak suami enggan atas sebab berikut:
"Islam tidak memaksa kepada suami isteri hidup dalam keadaan tidak aman dan bahagia, dan jika pihak-pihak itu tidak dapat hidup bersama seperti yang sepatutnya, Islam membenarkan pemisahan. Jika terdapat perpisahan itu disebabkan oleh kesalahan bagi pihak suami, perlulah ada pembayaran balik harta yang diterima oleh isteri atau pampasan.
Seperkara lagi, puan dan suami perlu mencapai persetujuan berkenaan jumlah wang yang perlu puan bayar kepadanya untuk bercerai dengan cara penebusan talaq. Dengan kata lain, suami puan tidak boleh menuntut bayaran tebus talaq sesuka hatinya. Jika puan dan suami tidak dapat mencapai persetujuan akan jumlah bayaran tersebut, mahkamah syariah akan mentaksirkan nilainya pada kadar yang berpatutan mengikut hukum syara'.
Taksiran ini dibuat dengan memberi pertimbangan kepada taraf hidup dan sumber kewangan puan dan suami puan. Pada kebiasaannya, mahkamah syariah juga akan melihat kepada nilai wang hantaran semasa berkahwin dalam menentukan jumlah yang perlu puan bayar kepada suami untuk menebus talaq.
Selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui atau sekiranya mahkamah syariah telah menetapkan nilainya, suami puan akan diarahkan agar melafazkan talaq ke atas puan. Talaq ini adalah talaq ba-in sughra yakni tidak boleh diruju' melainkan puan dan suami bernikah semula. Seterusnya, mahkamah syariah akan merekodkan perceraian ini dan menghantarkan sesalinan rekod yang diperakui kepada Pendaftar dan Ketua Pendaftar agar perceraian tersebut didaftarkan.