Soalan:
SAYA dan suami ingin memohon hak penjagaan anak saudara saya yang telah kehilangan ibu bapanya. Saya adalah kakak kepada arwah ibu budak itu. Malangnya, ibu saya tidak mengizinkan dan berdegil mahu menjaga anak saudara saya itu sendirian. Masalahnya, ibu saya sudah berumur 73 tahun dan tinggal berseorangan. Sukar bagi dia menguruskan anak kecil. Anak saudara saya akan mula ke sekolah pada tahun depan. Neneknya yang tinggal jauh dari sekolah tentu tidak boleh menghantar dan mengambil anak saudara saya setiap hari. Bagaimana saya boleh selesaikan hal ini tanpa melukakan hati ibu?
Nur Sukaynah Hussein,
Negeri Sembilan.
Jawapan:
Untuk pengetahuan puan, terdapat beberapa peruntukan perundangan berkenaan hak penjagaan kanak-kanak di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003.
Kebiasaannya, ibu diutamakan untuk mendapat hak penjagaan anak, lebih-lebih lagi anak yang masih kecil. Memandangkan adik puan sudah meninggal dunia, hak itu akan berpindah kepada orang lain menurut susunan keutamaan yang boleh didapati di bawah Seksyen 82 (2) enakmen yang sama.
Menurut susunan itu, nenek sebelah ibu adalah orang pertama yang layak mendapat hak penjagaan sekiranya ibu kepada anak itu sudah tiada. Manakala emak saudara sebelah ibu, iaitu puan pula adalah orang yang kesepuluh. Sememangnya ibu puan lebih diutamakan untuk mendapat hak penjagaan atas anak saudara puan.
Namun begitu, seksyen ini juga mensyaratkan bahawa hak penjagaan yang diberi mengikut susunan keutamaan tersebut tidak akan menjejaskan kebajikan anak berkenaan. Penekanan terhadap kebajikan anak dalam menentukan siapa yang mendapat hak penjagaan dapat dilihat di beberapa seksyen dalam enakmen yang sama.
Seksyen 83, sebagai contohnya, telah menetapkan beberapa syarat sebelum seseorang boleh mendapat hak penjagaan anak. Salah satu syarat itu adalah, penjaga mesti berumur yang melayakkan dia memberi jagaan dan kasih sayang kepada kanak-kanak itu. Dia juga mesti tinggal di kawasan yang sesuai untuk membesarkan kanak-kanak berkenaan.
Ibu puan berkemungkinan besar tidak mampu lagi untuk menjaga anak saudara puan berdasarkan alasan-alasan yang puan nyatakan dan juga syarat kelayakan mendapat hak penjagaan yang dijelaskan di atas. Sehubungan itu, puan boleh membuat permohonan untuk mendapat hak penjagaan ke atas anak saudara puan.
Permohonan untuk mendapat hak penjagaan dibuat di mahkamah syariah. Seksyen 87 (1) enakmen yang sama menyatakan bahawa, mahkamah mempunyai kuasa mengeluarkan perintah hak penjagaan anak untuk diberikan kepada orang-orang yang sesuai.
Keputusan mahkamah juga akan melihat kepada faktor kelayakan orang yang ingin mendapat hak penjagaan, dan menitikberatkan kebajikan anak berkenaan. Kami sarankan agar puan dan ibu puan berbincang secara baik sebelum ke mahkamah. Tekankan kepada ibu puan bahawa kebajikan anak saudara puan amat penting untuk memastikan yang dia membesar dalam keadaan yang sejahtera.
-----------------------------------------+++++++++++++++++++++++++++++++==---------------------------------------------------------------
(Original Version)
Tajuk Cadangan:
Pentingkan kebajikan anak dalam menentukan hak penjagaan (diutamakan)
Soalan:
Saya dan suami ingin memohon hak penjagaan anak saudara saya yang telah kehilangan ibubapanya. Saya adalah kakak kepada arwah ibu budak itu. Malangnya, ibu saya tidak mengizinkan dan berdegil mahu menjaga anak saudara saya itu sendirian. Masalahnya, ibu saya sudah berumur 73 tahun dan tinggal berseorangan. Sukar bagi dia menguruskan anak kecil. Anak saudara saya akan mula ke sekolah pada tahun depan. Neneknya yang tinggal jauh dari sekolah tentu tidak boleh menghantar dan mengambil anak saudara saya setiap hari. Bagaimana saya boleh selesaikan hal ini tanpa melukakan hati ibu?
Nur Sukaynah Hussein,
Negeri Sembilan
Jawapan:
Untuk pengetahuan puan, terdapat beberapa peruntukan perundangan berkenaan hak penjagaan kanak-kanak di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003.
Kebiasaannya, ibu diutamakan untuk mendapat hak penjagaan anak, lebih-lebih lagi anak yang masih kecil. Memandangkan adik puan sudah meninggal dunia, hak itu akan berpindah kepada orang lain menurut susunan keutamaan yang boleh didapati di bawah Seksyen 82 (2) Enakmen yang sama.
Menurut susunan itu, nenek sebelah ibu adalah orang pertama yang layak mendapat hak penjagaan sekiranya ibu kepada anak itu sudah tiada. Manakala emak saudara sebelah ibu, iaitu puan pula adalah orang yang kesepuluh. Sememangnya ibu puan lebih diutamakan untuk mendapat hak penjagaan atas anak saudara puan.
Namun begitu, seksyen ini juga mensyaratkan bahawa hak penjagaan yang diberi mengikut susunan keutamaan tersebut tidak akan menjejaskan kebajikan anak berkenaan. Penekanan terhadap kebajikan anak dalam menentukan siapa yang mendapat hak penjagaan dapat dilihat di beberapa seksyen dalam Enakmen yang sama.
Seksyen 83, sebagai contohnya, telah menetapkan beberapa syarat sebelum seseorang boleh mendapat hak penjagaan anak. Salah satu syarat itu adalah, penjaga mesti berumur yang melayakkan dia memberi jagaan dan kasih sayang kepada kanak-kanak itu. Dia juga mesti tinggal di kawasan yang sesuai untuk membesarkan kanak-kanak berkenaan.
Ibu puan berkemungkinan besar tidak mampu lagi untuk menjaga anak saudara puan berdasarkan alasan-alasan yang puan nyatakan dan juga syarat kelayakan mendapat hak penjagaan yang dijelaskan di atas. Sehubungan itu, puan boleh membuat permohonan untuk mendapat hak penjagaan ke atas anak saudara puan.
Permohonan untuk mendapat hak penjagaan dibuat di mahkamah syariah. Seksyen 87 (1) Enakmen yang sama menyatakan bahawa, mahkamah mempunyai kuasa mengeluarkan perintah hak penjagaan anak untuk diberikan kepada orang-orang yang sesuai.
Keputusan mahkamah juga akan melihat kepada faktor kelayakan orang yang ingin mendapat hak penjagaan, dan menitikberatkan kebajikan anak berkenaan.
SIS amat menghormati keprihatinan puan dan suami dalam hal kebajikan anak saudara puan. Walaupun terdapat undang-undang seperti di atas yang membolehkan puan mendapat hak penjagaan daripada ibu puan, kami sarankan agar puan dan ibu puan berbincang secara baik sebelum ke mahkamah.
Semasa perbincangan itu nanti, tekankan kepada ibu puan bahawa kebajikan anak saudara puan amat penting untuk memastikan yang dia membesar dalam keadaan yang sejahtera. Yakinkan juga bahawa ibu puan akan dapat berjumpa dengan cucunya sekerap yang mungkin. Ada kemungkinan, ibu puan sangat sayangkan cucunya dan tidak rela berpisah dengannya. Oleh sebab itulah dia tidak mahu melepaskan hak penjagaannya kepada puan dan suami.
Selamat Berjaya!