(Utusan Malaysia's Version)
Boleh tuntut nafkah idah
15 Jun 2007
Soalan:
SUAMI melafazkan talak ke atas saya baru-baru ini. Kami sekarang dalam proses mengesahkan perceraian. Bolehkah saya mendapat nafkah daripada suami selepas bercerai sekiranya saya tidak mempunyai anak? Adakah saya masih boleh membuat tuntutan sedangkan kes saya sudah separuh jalan?
Marlisa, Kuala Lumpur
Jawapan:
Terima kasih atas pertanyaan puan. Semoga nasihat yang kami berikan sedikit sebanyak dapat membantu puan menangani masalah ini.
Islam memberikan perlindungan kepada wanita yang telah diceraikan suaminya dengan menyediakan hak-hak tertentu, antara lain hak untuk menuntut mutaah, nafkah, pembahagian harta sepencarian dan pembayaran balik wang yang dipinjam oleh suami daripadanya.
Dalam situasi ini, puan mempunyai hak untuk mendapat wang saraan daripada suami puan selepas bercerai dalam bentuk nafkah idah.
Nafkah idah adalah nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri yang diceraikannya. Dia perlu membayar nafkah tersebut selama tempoh idah iaitu tempoh tiga bulan atau tiga kali kitaran haid.
Menurut Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, mahkamah syariah mempunyai kuasa untuk memerintahkan suami memberikan nafkah kepada isteri atau bekas isterinya. Dengan itu, puan boleh membuat tuntutan untuk mendapat nafkah idah di mahkamah syariah yang mendengar kes pengesahan perceraian puan.
Jumlah nafkah idah yang harus dibayar oleh suami puan akan ditentukan oleh mahkamah syariah selaras dengan Seksyen 61 Akta. Mahkamah akan melihat kepada keperluan puan dan kemampuan suami. Tiada satu kaedah pengiraan yang tetap dalam menentukan nilai nafkah.
Selain daripada nafkah idah, puan juga mempunyai hak untuk tinggal di rumah kelamin iaitu rumah yang puan diami sepanjang tempoh perkahwinan. Allah S.W.T. telah berfirman dalam Surah Al-Talak ayat 6 seperti berikut: "Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekayaan kamu."
Hak ini juga diperuntukkan di bawah Seksyen 71 Akta yang sama. Menurut seksyen ini, puan akan hilang hak untuk menetap di rumah kelamin sesudah tamat tempoh idah atau jika puan berkahwin lagi atau sekiranya puan didapati bersalah membuat perlakuan yang memberahikan secara terbuka.
Namun begitu, jika suami bersetuju membayar nafkah kepada puan bagi tempoh yang lebih lama, tidak ada salahnya. Sebagai contohnya, puan dan suami boleh membuat perjanjian agar dia membayar nafkah kepada puan bagi tempoh tertentu atau sehingga puan berkahwin semula atau sehingga suami puan meninggal dunia.
*Hukum syarak
Walaupun ini bukanlah praktis yang biasanya diamalkan di Malaysia, namun Islam itu menggalakkan kita memberi lebih daripada apa yang telah ditentukan oleh hukum syarak sebagai satu hak, secara sukarela.
"Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal-menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri: Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 237).
Mengikut hukum syarak, tiada had waktu yang tertentu untuk seseorang membuat tuntutan kerana hak tetap hak dan ia tidak boleh dilupuskan oleh tempoh masa. Oleh itu, puan masih boleh membuat tuntutan. Bagaimanapun, adalah lebih elok jika puan membuat tuntuan dalam tempoh masa yang munasabah.
Nota:
Kita akan dapat lihat perbezaan dalam tempoh pembayaran nafkah yang boleh dituntut oleh para wanita bukan Islam. Bagi mereka, nafkah boleh dituntut sehinggalah kematiannya atau suaminya berdasarkan Seksyen 81 Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.
- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000 Petaling Jaya, Selangor atau telefon ke Talian TeleNisa di 03 77843733 pada setiap hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel kepada: sistersinislamlegalclinic @yahoo.com
Nur Fadhlin Mohd Yusof
– Pegawai Undang-Undang Sisters In Islam
_____________________________________________________________________________________________________
(Original Version)
Soalan:
Suami melafazkan talaq ke atas saya baru-baru ini. Kami sekarang dalam proses mengesahkan perceraian. Bolehkah saya mendapat nafkah daripada suami selepas bercerai sekiranya saya tidak mempunyai anak? Adakah saya masih boleh membuat tuntutan sedangkan kes saya sudah separuh jalan?
Marlisa, Kuala Lumpur
Jawapan:
Terima kasih atas pertanyaan puan. Semoga nasihat yang kami berikan sedikit sebanyak dapat membantu puan menangani masalah ini.
Islam memberikan perlindungan kepada wanita yang telah diceraikan suaminya dengan menyediakan hak-hak tertentu, antara lain, hak untuk menuntut mut'ah, nafkah, pembahagian harta sepencarian dan pembayaran balik wang yang dipinjam oleh suami daripadanya.
Dalam situasi ini, puan mempunyai hak untuk mendapat wang saraan daripada suami puan selepas bercerai dalam bentuk nafkah 'iddah.
Nafkah 'iddah adalah nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri yang diceraikannya. Dia perlu membayar nafkah tersebut selama tempoh 'iddah yakni tempoh tiga bulan atau tiga kali kitaran haid .
Menurut Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, mahkamah syariah mempunyai kuasa untuk memerintahkan suami memberikan nafkah kepada isteri atau bekas isterinya. Dengan itu, puan boleh membuat tuntutan untuk mendapat nafkah 'iddah di mahkamah syariah yang mendengar kes pengesahan perceraian puan.
Jumlah nafkah 'iddah yang harus dibayar oleh suami puan akan ditentukan oleh mahkamah syariah selaras dengan Seksyen 61 Akta. Mahkamah akan melihat kepada keperluan puan, dan juga kemampuan suami. Tiada satu kaedah pengiraan yang tetap dalam menentukan nilai nafkah.
Selain daripada nafkah 'iddah, puan juga mempunyai hak untuk tinggal di rumah kelamin yakni rumah yang puan diami sepanjang tempoh perkahwinan. Allah S.W.T. telah berfirman dalam Surah At-Talak ayat 6 seperti berikut: "berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekayaan kamu."
Hak ini juga diperuntukkan di bawah Seksyen 71 Akta yang sama. Menurut Seksyen ini, puan akan hilang hak untuk menetap di rumah kelamin sesudah tamat tempoh 'iddah, atau jika puan berkahwin lagi, atau sekiranya puan didapati bersalah membuat perlakuan yang memberahikan secara terbuka.
Namun begitu, jika suami bersetuju membayar nafkah kepada puan bagi tempoh yang lebih lama, tidak ada salahnya. Sebagai contohnya, puan dan suami boleh membuat perjanjian agar dia membayar nafkah kepada puan bagi tempoh tertentu, atau sehingga puan berkahwin semula, atau sehingga suami puan meninggal dunia.
Walaupun ini bukanlah praktis yang biasanya diamalkan di Malaysia, namun Islam itu menggalakkan kita memberi lebih daripada apa yang telah ditentukan oleh hukum syara' sebagai satu hak, secara sukarela.
"Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal-menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri: Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 237).
Mengikut hukum syara', tiada had waktu yang tertentu untuk seseorang membuat tuntutan kerana hak tetap hak dan ia tidak boleh dilupuskan oleh tempoh masa. Oleh itu, puan masih boleh membuat tuntutan. Walau bagaimanapun, adalah lebih elok jika puan membuat tuntuan dalam tempoh masa yang munasabah.
Nota:
Kita akan dapat lihat perbezaan dalam tempoh pembayaran nafkah yang boleh dituntut oleh para wanita bukan Islam. Bagi mereka, nafkah boleh dituntut sehinggalah kematiannya atau suaminya berdasarkan Seksyen 81 Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian ) 1976. Nampaknya, faedah yang dinikmati oleh wanita bukan Islam melebihi apa yang boleh dinikmati oleh wanita Islam.