Mutaah sagu hati suami pada isteri
16 March 2007
Soalan:
Saya dan suami telah berkahwin selama lebih 25 tahun apabila dia melafazkan talak satu ke atas saya baru-baru ini. Saya kini sedang menjalani proses pengesahan perceraian di luar mahkamah. Saya telah dimaklumkan bahawa saya boleh menuntut harta mutaah akibat daripada perceraian ini. Apakah yang dimaksudkan dengan harta mutaah tersebut? Bagaimanakah kiraan dilakukan atau anggaran dibuat untuk menentukan nilai tuntutan harta mutaah saya?
- Jameelah, Pulau Pinang.
Jawapan:
Perkahwinan sesungguhnya adalah suatu institusi yang penting dalam sebuah masyarakat. Ia merupakan ikatan yang dijalin berasaskan perasaan kasih sayang dan saling hormat-menghormati antara dua insan. Perkahwinan yang bahagia membawa kepada pembentukan sebuah keluarga yang harmoni. Ini kemudiannya bertindak sebagai tunjang masyarakat yang aman sentosa.
Sayang sekali, tidak semua perkahwinan itu kekal ke akhir hayat biarpun ia sudah berlangsung selama lebih dua dekad. Situasi yang puan alami memang menyedihkan, setelah sudah sekian lama membina keluarga yang bahagia dan berkorban demi kegembiraan suami dan anak-anak, kini puan dilepaskan dengan talak satu. Demi membela nasib wanita seperti puan yang diceraikan suami, undang-undang membenarkan wanita itu menuntut apa yang dipanggil harta mutaah. Memandangkan puan menetap di Pulau Pinang, undang-undang yang terpakai bagi permasalahan yang puan hadapi adalah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 1985.
Menurut Seksyen 56 akta tersebut, harta mutaah merupakan pemberian saguhati oleh suami kepada isterinya yang diceraikan tanpa sebab yang wajar. Apabila mahkamah syariah berpuas hati bahawa puan telah diceraikan tanpa sebab yang munasabah, suami puan boleh diperintahkan membayar mutaah pada nilai yang berpatutan dan berlandaskan hukum syarak kepada puan.
Sebaliknya, jika perpisahan itu disebabkan oleh pihak perempuan, sebagai contohnya dia memohon fasakh, maka tidak berhak baginya menuntut harta mutaah daripada suaminya.
Walaupun kebiasaannya harta mutaah diberi dalam bentuk wang ringgit, puan juga boleh memohon harta dalam bentuk lain. Sebagai contohnya, rumah atau tanah. Nilai harta mutaah yang puan hendak tuntut boleh ditetapkan mengikut apa yang dirasakan munasabah. Begitu juga halnya dengan cara pembayaran harta mutaah tersebut oleh suami puan, ia boleh dibayar baik secara ansuran mahupun dibayar secara sekali gus.
Penaksiran nilai harta mutaah yang boleh dituntut oleh seorang isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang munasabah berbeza-beza mengikut tempat. Di Malaysia, tidak terdapat formula yang tertentu bagi kiraan untuk menentukan berapakah jumlah harta mutaah yang puan boleh tuntut. Dengan kata lain, puan boleh menetapkan nilai harta mutaah yang puan ingin tuntut berdasarkan apa yang puan rasakan puan patut dapat daripada suami puan.
Sekiranya suami puan bersetuju untuk membayar mutaah pada nilai tersebut, alhamdulillah. Sebaliknya, jika suami puan mempertikaikan nilai mutaah yang puan tuntut tersebut, jumlah ini akan ditetapkan oleh hakim mahkamah syariah yang mendengar kes perceraian antara puan dan suami puan dengan mengambil kira beberapa faktor. Antara lain, bahawa puan tidak menyebabkan perceraian ini berlaku, berapa tahun perkahwinan puan telah wujud dan juga status serta taraf hidup puan selama ini. Seperti apa yang puan kini lalui, persoalan utama yang sering menghantui para wanita yang telah diceraikan oleh suami sebaik mendapat tahu bahawa mereka boleh menuntut harta mutaah adalah; berapakah nilai mutaah yang boleh dituntut dan bagaimana jumlah ini dikira? Seperti yang telah diperjelaskan di atas, tiada sebarang cara tetap yang boleh digunakan bagi menjawab kedua-dua persoalan ini.
Satu lagi masalah yang dihadapi oleh para wanita yang diceraikan suami mereka adalah apabila Hakim Mahkamah Syariah menetapkan bahawa suami tersebut perlu membayar mutaah pada nilai yang lebih rendah daripada apa yang dipohon oleh isteri. Akibat tiada kaedah khas dalam mengira nilai mutaah yang boleh diperoleh oleh seorang isteri daripada suaminya, Hakim Mahkamah Syariah boleh berbuat demikian yakni menentukan nilai mutaah berdasarkan pendirian peribadinya (dengan mengambil kira tiga faktor yang telah disenaraikan di atas). Apa yang ingin diperkatakan di sini adalah, sukar bagi isteri yang memohon mutaah tersebut untuk mempersoalkan keputusan Hakim Mahkamah Syariah berkenaan nilai mutaah yang boleh dituntut olehnya kerana pada asalnya tiada kaedah pengiraan yang khas dan tetap dalam menentukan jumlah mutaah yang boleh dia boleh peroleh daripada suaminya.
Sebagai kesimpulannya, puan sememangnya layak menuntut harta mutaah daripada suami puan kerana dia sanggup menceraikan puan setelah lebih 25 tahun mendirikan mahligai bersama. Dalam menentukan nilai mutaah yang ingin puan tuntut, pertimbangkanlah bahawa puan tidak menyebabkan perceraian ini berlaku, berapa tahun perkahwinan puan telah wujud dan juga status serta taraf hidup puan selama tempoh perkahwinan ini.
ORIGINAL VERSION
Soalan:
Saya dan suami telah berkahwin selama lebih 25 tahun apabila dia melafazkan talaq satu ke atas saya baru-baru ini. Saya kini sedang menjalani proses pengesahan perceraian di luar mahkamah. Saya telah dimaklumkan bahawa saya boleh menuntut harta mut'ah akibat daripada perceraian ini. Apakah yang dimaksudkan dengan harta mut'ah tersebut? Bagaimanakah kiraan dilakukan atau anggaran dibuat untuk menentukan nilai tuntutan harta mut'ah saya?
Jameelah, Pulau Pinang
Jawapan:
Perkahwinan sesungguhnya adalah suatu institusi yang penting dalam sebuah masyarakat. Ia merupakan ikatan yang dijalin berasaskan perasaan kasih sayang dan saling hormat-menghormati antara dua insan. Perkahwinan yang bahagia membawa kepada pembentukan sebuah keluarga yang harmoni s. Ini kemudiannya bertindak sebagai tunjang masyarakat yang aman sentosa.
Kemuliaan sebuah perkahwinan ditegaskan lagi dalam Surah Ar-Rum 30:21 yang menyatakan seperti berikut:
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan."
Sayang sekali, tidak semua perkahwinan itu kekal ke akhir hayat biarpun ia sudah berlangsung selama lebih dua dekad. Situasi yang puan alami memang menyedihkan; setelah sudah sekian lama membina keluarga yang bahagia dan berkorban demi kegembiraan suami dan anak-anak, kini puan dilepaskan dengan talaq satu. Demi membela nasib wanita seperti puan yang diceraikan suami, undang-undang membenarkan wanita itu menuntut apa yang dipanggil harta mut'ah. Memandangkan puan menetap di Pulau Pinang, undang-undang yang terpakai bagi permasalahan yang puan hadapi adalah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 1985.
Menurut Seksyen 56 akta tersebut, harta mut'ah merupakan pemberian saguhati oleh suami kepada isterinya yang diceraikan tanpa sebab yang wajar. Apabila Mahkamah Syariah berpuas hati bahawa puan telah diceraikan tanpa sebab yang munasabah, suami puan boleh diperintahkan membayar mut'ah pada nilai yang berpatutan dan berlandaskan Hukum Syara' kepada puan.
Kitab Kifayah al-Akhyar pula menjelaskan bahawa mut'ah adalah merupakan harta yang dibayar atau diberikan oleh seorang lelaki kepada isterinya disebabkan oleh perpisahan antara dia dengan wanita itu, dan perpisahan itu disebabkan oleh lelaki tersebut atau disebabkan oleh orang luar. Sebaliknya, jika perpisahan itu disebabkan oleh pihak perempuan, sebagai contohnya dia memohon fasakh, maka tidak berhaklah baginya menuntut harta mut'ah daripada suaminya.
Nas yang paling jelas bagi pembayaran mut'ah daripada seorang lelaki kepada isterinya yang diceraikan tanpa sebab yang wajar terdapat dalam Surah Al-Baqarah 2:241 yang berbunyi seperti berikut:
"Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mut'ah menurut yang ma'ruf, sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang yang taqwa."
Walaupun kebiasaanya harta mut'ah diberi dalam bentuk wang ringgit, puan juga boleh memohon harta dalam bentuk lain. Sebagai contohnya, rumah atau tanah. Nilai harta mut'ah yang puan hendak tuntut boleh ditetapkan mengikut apa yang dirasakan munasabah. Begitu juga halnya dengan cara pembayaran harta mut'ah tersebut oleh suami puan; ianya boleh dibayar baik secara ansuran mahupun dibayar secara sekali gus.
Penaksiran nilai harta mut'ah yang boleh dituntut oleh seorang isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang munasabah berbeza-beza mengikut tempat. Di Malaysia, tidak terdapat formula yang tertentu bagi kiraan untuk menentukan berapakah jumlah harta mut'ah yang puan boleh tuntut. Dengan kata lain, puan boleh menetapkan nilai harta mut'ah yang puan ingin tuntut berdasarkan apa yang puan rasakan puan patut dapat daripada suami puan.
Sekiranya suami puan bersetuju untuk membayar mut'ah pada nilai tersebut, alhamdulillah. Sebaliknya, jika suami puan mempertikaikan nilai mut'ah yang puan tuntut tersebut, jumlah ini akan ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Syariah yang mendengar kes perceraian antara puan dan suami puan dengan mengambilkira beberapa faktor, antara lain, bahawa puan tidak menyebabkan perceraian ini berlaku, berapa tahun perkahwinan puan telah wujud dan juga status serta taraf hidup puan selama ini. Situasi ini lebih kurang sama dengan keadaan di Tunisia yang mana nilai harta mut'ah yang boleh dituntut oleh isteri yang diceraikan suaminya tanpa sebab yang patut adalah ditentukan mengikut taraf hidup isteri berkenaan sepanjang tempoh perkahwinannya.
Pelbagai masalah boleh timbul ekoran daripada pemakaian kaedah penentuan nilai mut'ah yang tidak tetap di negara ini . Seperti apa yang puan kini lalui, persoalan utama yang sering menghantui para wanita yang telah diceraikan oleh suami sebaik mendapat tahu bahawa mereka boleh menuntut harta mut'ah adalah: berapakah nilai mut'ah yang boleh dituntut dan bagaimana jumlah ini dikira? Seperti yang telah diperjelaskan di atas, tiada sebarang cara tetap yang boleh digunakan bagi menjawab kedua-dua persoalan ini.
Satu lagi masalah yang dihadapi oleh para wanita yang diceraikan suami mereka adalah apabila Hakim Mahkamah Syariah menetapkan bahawa suami tersebut perlu membayar mut'ah pada nilai yang lebih rendah daripada apa yang dipohon oleh isteri. Akibat tiadanya kaedah khas dalam mengira nilai mut'ah yang boleh diperolehi oleh seorang isteri daripada suaminya, Hakim Mahkamah Syariah boleh berbuat demikian yakni menentukan nilai mut'ah berdasarkan pendirian peribadinya (dengan mengambilkira tiga faktor yang telah disenaraikan di atas). Apa yang ingin diperkatakan di sini adalah, sukar bagi isteri yang memohon mut'ah tersebut untuk mempersoalkan keputusan Hakim Mahkamah Syariah berkenaan nilai mut'ah yang boleh dituntut olehnya kerana pada asalnya tiada kaedah pengiraan yang khas dan tetap dalam menentukan jumlah mut'ah yang boleh dia boleh perolehi daripada suaminya.
Situasi di negara ini jauh berlainan dengan keadaan di kebanyakan negara di Timur Tengah. Di sana, terdapat undang-undang yang menetapkan jumlah atau nilai tertentu bagi harta mut'ah yang boleh dituntut oleh seorang isteri yang telah diceraikan daripada suaminya. Sebagai contohnya, wanita di Jordan yang telah diceraikan boleh menuntut pampasan yang tidak melebihi jumlah nafkah yang patut diberikan kepadanya bagi tempoh satu tahun. Di Mesir pula, harta mut'ah boleh dituntut pada nilai yang tidak kurang daripada jumlah nafkah isteri tersebut bagi tempoh dua tahun tetapi dengan mengambilkira kemampuan kewangan suaminya.
Sebagai kesimpulannya, puan sememangnya layak menuntut harta mut'ah daripada suami puan kerana dia sanggup menceraikan puan setelah lebih 25 tahun mendirikan mahligai bersama. Dalam menentukan nilai mut'ah yang ingin puan tuntut, pertimbangkanlah bahawa puan tidak menyebabkan perceraian ini berlaku, berapa tahun perkahwinan puan telah wujud dan juga status serta taraf hidup puan selama tempoh perkahwinan ini. Kami di Sisters In Islam mendoakan agar puan kekal tabah dalam menghadapi cabaran ini. Moga-moga Allah S.W.T. mempermudahkan dan merahmati kehidupan puan pada masa akan datang.