Benarkah ibu hanya dapat hak jaga anak perempuan
22 Jun 2007

Soalan:

Suami mengatakan hak penjagaan anak lelaki tunggal yang berusia 3 tahun akan diberi kepadanya sekiranya kami bercerai kerana ibu hanya akan mendapat hak penjagaan untuk anak perempuan. Adakah saya tetap tidak boleh mendapat hak penjagaan anak biarpun pendapatan saya lebih daripada cukup untuk menyara kami dua beranak?

Inas Ahmad Khidir
Ujong Pasir, Melaka.

Jawapan:

Hak terhadap penjagaan anak sering kali menjadi persoalan apabila perceraian timbul. Perlulah diingat bahawa dalam memberikan hak penjagaan ini, perkara yang paling penting ialah kepentingan dan kebajikan anak itu. Ini merupakan hak anak, bukannya hak ibubapa.

Kami dapat rasakan bahawa puan keliru dengan apa yang diperkatakan oleh suami puan. Oleh itu, adalah penting di sini kita rujuk kepada apa yang diperkatakan dalam perundangan Islam.

Rasulullah SAW selalu menekankan bahawa ibu lebih berhak mendapat hak penjagaan ke atas anaknya. Pengorbanan ibu itu amat mulia apabila dia mempertaruhkan nyawanya sendiri bagi meneruskan zuriat kaumnya.

Ini dapat dilihat melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang berbunyi seperti berikut:

"Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah SAW, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaankulah rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku". Selepas mendengar aduan itu Rasulullah SAW bersabda, "Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain." (Riwayat Abu Dawud)

Berhubung soalan puan, selagi mana anak itu masih kecil dan belum mencapai umur mumayyiz, puan sebagai ibu lebih berhak memelihara dan membesarkannya. Ini termaktub dalam Seksyen 82 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 yang menyebut:

"…ibu adalah yang paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan."

Dalam kes Zawiyah lwn Ruslan (1980 JLD 1, 2 J.H) Yang Arif Khadi Besar Pulau Pinang Haji Harussani bin Haji Zakaria memutuskan anak-anak yang belum mumayyiz diserah kepada ibunya berdasarkan hujah Kitab Kifayah Al-Akhyar Juzu' 2 halaman 93 yang berbunyi seperti berikut:

"Apabila mencerai seorang lelaki akan isterinya dan ia mempunyai anak dengan isteri itu maka si isteri berhak memelihara anak itu sehingga anak itu berumur 7 tahun (mumayyiz)."

Namun demikian, ada syarat-syarat yang ditetapkan oleh undang-undang untuk menentukan sama ada seseorang itu layak mendapat hak penjagaan. Syarat-syarat ini bertujuan supaya kebajikan dan kepentingan anak terjamin.

Syarat-syarat kelayakan tersebut disenaraikan dalam Seksyen 83 Enakmen yang sama, iaitu:

(a) dia seorang Islam;

(b) dia sempurna akal;

(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak itu;

(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan

(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.


Seperti yang dapat kita lihat, undang-undang tidak menetapkan bahawa seorang ibu hanya boleh menjaga anak perempuannya sahaja. Apa yang dinyatakan oleh suami puan tidak benar sama sekali. Jelaslah di sini puan tidak perlu risau dengan kata-kata suami puan.

Sama ada puan bekerja atau tidak, itu tidak akan memberi kesan kepada hak puan untuk memohon hak hadhanah. Perlulah ditekankan di sini bahawa, walaupun hak hadhanah diberikan kepada ibu, bapa masih lagi bertanggungjawab memberi nafkah kepada anaknya.