Potong gaji bayar nafkah anak
23 May 2008

Soalan:
Saya dan suami bercerai secara baik pada 2002 yang lalu. Semasa perintah perceraian dikeluarkan, bekas suami bersetuju untuk membayar nafkah dua orang anak sebanyak RM200 sebulan. Tetapi dia tidak pernah membayar dengan tetap.Jika saya minta baru dia beri, jika tidak, senyap saja. Tetapi kini perbelanjaan anak-anak semakin meningkat kerana keperluan persekolahan mereka. Apabila saya berbincang dengan bekas suami, dia bersetuju dan berjanji akan memberi RM1,000 sebulan untuk nafkah anak. Tetapi, macam biasa, hanya cakap-cakap kosong. Bagaimanakah caranya saya nak pastikan anak-anak saya mendapat hak mereka?

MAHIMA MOKHTAR,
Shah Alam, Selangor.

Jawapan:
Kami di Sisters In Islam sentiasa menekankan bahawa nafkah anak merupakan hak anak-anak. Ibu bapa seharusnya peka terhadap kepentingan dan kebajikan anak-anak. Walaupun telah bercerai, tanggungjawab terhadap anak-anak berterusan.

Semakin membesar anak itu, semakin meningkat dan bertambah keperluan mereka. Mengambil kira kepentingan dan kebajikan anak-anak, undang-undang menyediakan peruntukan yang membolehkan ibu atau bapa mengubah perintah jumlah nafkah yang telah diberikan oleh mahkamah.

Apa yang penting dibuktikan di sini ialah keperluan anak-anak itu. Puan haruslah menunjukkan kepada mahkamah perbelanjaan keperluan anak-anak. Tujuannya supaya mahkamah mendapat gambaran sebenar tentang keperluan hidup anak-anak puan kini. Jika dulu anak-anak tidak bersekolah, perbelanjaannya kurang berbanding dengan anak-anak yang bersekolah.

Contohnya, puan bolehlah menunjukkan kepada mahkamah pembelian buku-buku sekolah, bayaran pengangkutan ke sekolah, yuran-yuran berkaitan dengan persekolahan anak-anak, wang saku harian, dan sebagainya.

Tetapi, mahkamah juga akan melihat kepada kemampuan bekas suami. Puan juga harus bersedia menunjukkan kepada mahkamah bahawa bekas suami mampu untuk memberi nafkah sebanyak RM1,000 sebulan kepada anak-anak. Jika mahkamah mendapati bahawa bekas suami bergaji kecil, maka, mahkamah akan memutuskan satu jumlah yang mahkamah rasa adil bagi bekas suami dan juga anak-anak puan.

Bagi menjamin anak-anak mendapat nafkah daripada bekas suami secara tetap, undang-undang membolehkan puan memohon perintah potongan gaji. Puan boleh membuat permohonan ini serentak dengan permohonan ubah perintah kepada nafkah anak-anak.

Bagi perintah seperti ini, mahkamah akan mengeluarkan perintah tersebut kepada majikan bekas suami puan. Apabila perintah tersebut dikeluarkan, puan haruslah menghantar salinan perintah tersebut kepada majikan bekas suami. Dengan cara ini, pihak majikan bekas suami akan membayar nafkah anak-anak puan sebelum mengeluarkan gaji kepada bekas suami.

Majikan wajib mematuhi perintah mahkamah tersebut. Jika mereka ingkar, tindakan menghina mahkamah boleh diambil terhadap majikan itu.

* Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat

No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my