http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm

Cadangan pemakaian cawat besi diskriminasikan wanita
Utusan Malaysia, 22 Feb 2007

SISTERS In Islam amat terkilan dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini yang menyalahkan wanita bagi ‘nafsu lelaki' yang kononnya ‘tidak dapat dikawal'.

Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz menyarankan wanita memakai cawat besi untuk mengelakkan daripada dirogol. Beliau sendiri mengakui bukan semua lelaki itu akan melakukan jenayah rogol dan bahawa kebanyakan lelaki adalah baik dan bertamadun.

Dengan yang demikian, bukankah cara yang lebih afdal adalah dengan meningkatkan kesedaran di kalangan lelaki dan mendidik mereka dan bukannya dengan menyalahkan dan menindas kesemua perempuan di atas perbuatan segelintir lelaki?

Bukankah kenyataan-kenyataan sebegini sebenarnya juga satu penghinaan kepada kesemua lelaki sedangkan kebanyakan lelaki sememangnya dapat mengawal nafsu dan juga perbuatan mereka?

Hanya beberapa hari sebelum ini, Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin juga membuat kesimpulan yang agak mirip bahawa lelaki hanya boleh menonton atlet wanita beraksi jika mereka menutup aurat, supaya tidak menaikkan nafsu syahwat lelaki.

Bukan semua ulama akan menerima ‘nafsu tidak terkawal' sebagai alasan bagi kelakuan seseorang itu. Contohnya, dalam satu debat mengenai poligami, seorang ahli Parlimen di Maghribi berhujah bahawa ‘‘ada lelaki yang tidak akan dapat berpuas hati hanya dengan satu isteri sahaja''.

Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmed Toufiq langsung tidak menerima alasan ‘‘tidak dapat mengawal nafsu'' ini dan terus menjawab, ‘‘kalau begitu, mereka sepatutnya mendapatkan rawatan.''

Bagi negara yang mempunyai menara berkembar tertinggi di dunia, koridor raya multimedia dan kini dalam proses menghantar manusia ke angkasa lepas, kami sama sekali tidak dapat menerima seorang tokoh agama mencadangkan agar wanita dihantar semula ke Zaman Gelap dengan saranan pemakaian cawat besi ini.

Semakin kita menghampiri 50 tahun kemerdekaan, kita seharusnya berbangga dengan segala yang telah kita capai selama ini sebagai rakyat Malaysia.

Tetapi pendekatan mendiskriminasi dan memandang rendah terhadap wanita ini tidak harus diamalkan terhadap separuh rakyat di negara ini.

– SISTERS IN ISLAM,

Petaling Jaya, Selangor