Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

UPR (Semakan Berkala Sejagat): Laporan Comango – Honey Tan Lay Ean (24 October 2013)
email to someone printer friendly


UPR (Semakan Berkala Sejagat) : Laporan Comango – Honey Tan Lay Ean
24 Oktober merupakan tarikh sambutan Hari Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu. Kebetulan pula pada hari ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB akan mengkaji Malaysia dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) untuk menilai tahap kemajuan Malaysia untuk memelihara, melindungi dan memenuhi hak-hak rakyat.

Sebagai sebahagian daripada proses UPR, gabungan NGO-NGO Malaysia dalam proses UPR (Comango) telah menghantar laporan ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) pada Mac 2013. Ianya boleh dilihat di laman sesawang OHCHR. 

Laporan COMANGO yang dikemukakan telah banyak menerima kritikan negatif dari individu dan pihak bukan kerajaan  seperti Gagasan NGO Muslim dalam proses UPR (MUPRO) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM). Satu seminar yang bertajuk ‘Ancaman Liberalisme’ telah dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan tujuan mempersoalkan isu-isu yang dikemukakan dalam laporan COMANGO. Kami juga menjadi mangsa sasaran serangan badan kerajaan iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Apabila  khutbah Jumaat dikeluarkan pada 18 Oktober 2013, JAKIM menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap kami.

Aduan mereka mengenai laporan COMANGO terbahagi kepada dua kategori : mengancam Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan mengancam kedaulatan Malaysia. Justeru, Jakim telah membuat tuduhan yang tidak berasas mengenai COMANGO sebagai agen konspirasi liberal global. Kesemua tuduhan ini adalah tidak benar.

Sebagai bukti bahawa COMANGO mengancam posisi Islam sebagai agama rasmi Malaysia, mereka menyatakan bahawa kami membangkitkan isu murtad dan perkahwinan sama jantina walhal ianya tidak benar. Kami menyokong kebebasan beragama serta hak individu untuk bebas dari keganasan tidak kira wanita, kanak-kanak, orang tua, orang kurang upaya tanpa mengira orientasi seksual dan identiti jantina. COMANGO memperjuangkan hak untuk bekerja, hak untuk hidup, dan hak untuk privasi dan kita memperjuangkan kebebasan bersuara dan berpersatuan. Kesemua hak dan kebebasan ini terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia.

Cadangan yang dikemukakan oleh COMANGO supaya Malaysia  meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) dikatakan sebagai sebuah langkah untuk meggalakkan murtad. Ini adalah tidak benar sama sekali kerana negara-negara Muslim seperti Mesir, Jordan, Bahrain, Iraq, Pakistan, Indonesia, Yemen dan Afghanistan telah meratifikasi ICCPR.

Apabila COMANGO menyeru Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Pembanterasan Segala Bentuk Diskrimainasi Kaum (CERD), kononnya unsur-unsur perundangan Barat akan disemaikan ke dalam sistem keadilan tempatan dan ini akan memaksa Malaysia untuk mengikut telunjuk sekular Barat. Hakikatnya, sebahagian besar daripada sistem undang-undang Malaysia adalah berdasarkan sistem perundangan Inggeris – memang sejak Merdeka dan sebelum itu lagi. Dalam apa jua keadaan, tuduhan itu adalah palsu kerana banyak negara Islam telah mengesahkan CERD. Ini termasuk negara-negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Jordan, Libya, Yemen dan Qatar.

Ancaman yang dianggap sebagai pemusnah kedaulatan Malaysia ini tidak mengambil kira situasi di mana Malaysia telah pun meratifikasikan tiga konvensyen hak asasi manusia yang utama dan juga banyak perjanjian ‘bi-lateral’ dan ‘multi-lateral’ yang lain, terutamanya yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi negara. Sudah tentunya isu kedaulatan telah dipertimbangkan terlebih dahulu dan tidak dianggap sebagai ancaman. Ini menunjukkan bahawa isu kedaulatan yang dibangkitkan oleh MUPRO, JAKIM dan lain-lain boleh dipertikaikan.

Sekiranya terdapat sebarang kekeliruan mengenai perkara yang dikemukakan di dalam laporan COMANGO, ini adalah kesan daripada salah tafsir. Setakat ini, hanya satu e-mel sahaja dari seorang individu yang telah dihantar kepada kami untuk mendapatkan penjelasan. Malah, tiada usaha daripada mereka untuk meminta penjelasan atau perbincangan dengan pihak kami. Jelas ternyata tindakan mereka memilih media sebagai arena untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka menandakan tujuan sebenar mereka.

Penglibatan Malaysia dalam proses UPR telah banyak memanfaatkan kita. Kerajaan menempuh kemajuan dalam arena hak-hak asasi manusia yang kami percaya adalah hasil daripada proses UPR itu. Beberapa contoh termasuk: pengecualian terhadap reservasi yang terdapat pada Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC); pengesahan dua Protokol Pilihan kepada CRC; pindaan kepada Akta Keganasan Rumah Tangga 1994; penarikan balik rayuan dalam kes Noorfadilla yang memutuskan bahawa CEDAW mempunyai kuasa undang-undang di Malaysia; dan jemputan rasmi untuk lawatan dari  Pelapor Khas PBB Keselamatan Makanan.

Penglibatan COMANGO dalam proses UPR adalah selaras dengan mukadimah Rukun Negara kita: kami berdedikasi bagi memastikan supaya hak-hak manusia dapat dipelihara dan dilindungi agar rakyat Malaysia dapat hidup dalam masyarakat yang adil, dengan pendekatan terbuka terhadap tradisi kita yang kaya dan pelbagai. Haluan ini telah ditetapkan: biarlah kita kekal tulus dan sambung apa yang kita sudah mulakan.


Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap