Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Memorandum JAG: Keadilan bagi Dua Wanita yang Dijatuhkan Hukuman Sebat di Makamah Syariah Terengganu (3 September 2018)
email to someone printer friendly

Latar belakang
Pada 12 Ogos 2018, dua wanita telah didapati bersalah atas cubaan musahaqah (hubungan seks sesama wanita) di bawah Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, dibaca bersama dengan Seksyen 59 (1) Enakmen yang sama.
Kedua-dua wanita tersebut telah mengaku bersalah, namun yang menjadi persoalannya adakah mereka telah mendapat perwakilan undang-undang yang sewajarnya di mahkamah? Komuniti LGBT mempunyai akses yang terhad kepada keadilan, pembelaan dan perwakilan undang-undang kerana stigma dan anggapan fahaman berkenaan agama, seksualiti dan mereka sebagai LGBT.
Hukuman yang sepatutnya dilaksanakan pada 28 Ogos telah ditangguhkan kepada tarikh 3 September 2018 disebabkan oleh masalah-masalah teknikal. Hukuman ini akan dijalankan di mahkamah syariah.
Memorandum ini merangkumi 4 bahagian – dasar-dasar syariah, garis panduan menjatuhkan hukuman, isu-isu perlembagaan dan undang-undang dan tanggungjawab antarabangsa.
Dasar-dasar Syariah
Ajaran-ajaran al-Quran menekankan supaya seseorang individu itu bertaubat, meminta ampun dan melakukan perubahan peribadi atas keimanan bahawa Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Selain itu, Islam juga menyuruh kita memelihara maruah manusia dan tindakan seperti sebatan hanya bertujuan untuk menghina dan memalukan pihak yang bersalah.
Tidak ada kesepakatan mengenai hukuman-hukuman jenayah terutamanya hukuman sebat di Malaysia. Hanya Terengganu, Wilayah Persekutuan, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak yang mempunyai hukuman sebat untuk musahaqah di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri mereka.
Garis Panduan Menjatuhkan Hukuman

Mengikut garis panduan hukuman, kedua-dua wanita ini tidak patut dijatuhkan hukuman yang maksimum kerana:
● mereka telah mengaku bersalah dan ia merupakan kesalahan kali pertama.
● kemungkinan yang mereka tidak diwakili oleh peguam juga adalah faktor yang perlu diambilkira – adakah mereka memahami akan beratnya pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka?
Hukuman sebat tidak sepadan dengan kesalahan yang dilakukan, kerana tiada keganasan yang berlaku. Hukuman adalah untuk memberi pengajaran, akan tetapi hukuman sebat hanya menambahkan rasa malu, memberi mudarat, dan trauma kepada kedua-dua wanita tersebut.
Apabila tertuduh mengaku bersalah, ia adalah suatu faktor yang diambil kira dalam menjatuhkan hukuman. Tetapi mereka telah dijatuhkan hukuman maksimum berdasarkan jumlah sebatan yang dikenakan. Jumlah denda yang dikenakan juga adalah tinggi.
(JAG membantah sekeras-kerasnya apa jua jenis kesalahan peribadi dan perbuatan persendirian yang dianggap sebagai jenayah terhadap Negara)
Isu-isu Perlembagaan dan Perundangan
Penaniayaan terhadap kedua-dua wanita tersebut telah melanggar jaminan kesaksamaan dan tidak didiskriminasi di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang Persekutuan tidak membenarkan seorang wanita disebat, tetapi Undang-undang Syariah membenarkannya.

● Adakah sah hukuman sebat dijalankan di mahkamah awam?
● Siapakah yang diberi kuasa dan bagaimana hukuman itu akan dijalankan di mahkamah awam?
● Bolehkah pihak berkuasa persekutuan melakukan hukuman sebat terhadap seorang wanita Islam apabila Peraturan Penjara 2000 melarang hukuman korporal dikenakan terhadap tahanan wanita (tanpa mengira umur), atau banduan lelaki yang berusia lebih daripada 50 tahun?
Tanggungjawab Antarabangsa
Malaysia telah menandatangani Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) pada tahun 1995, yang meletakkan kewajipan kepada Malaysia untuk mendukung dan menghormati kesaksamaan terhadap wanita.

Pada bulan Mac 2018, Jawatankuasa CEDAW telah mencadangkan Malaysia untuk "menyelaraskan undang-undang Syariah dengan seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah untuk melarang sebatan terhadap wanita sebagai satu bentuk hukuman."
Jawatankuasa ini juga menyatakan kebimbangan mereka terhadap jurang yang semakin besar terutama di dalam hak dan perlindungan wanita Islam dan bukan Islam, berikutan dari undang-undang Syariah negeri yang berbeza-beza.
Di dalam manifesto mereka, Pakatan Harapan telah menyatakan dalam Janji 26 untuk "Menjadikan rekod hak asasi kita dihormati oleh dunia". Malaysia juga telah menyatakan komitmen untuk menjadi negara yang patuh terhadap tanggungjawab mereka dalam perkara-perkara berkaitan hak asasi manusia dan kebebasan sivil. Pada 2 Julai, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah telah berjanji bahawa Kerajaan akan menandatangani enam lagi konvensyen hak asasi antarabangsa dan mencapai matlamat global Pembangunan Mampan 2030.

3 September 2018

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap