Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Kenyataan Media: Perkahwinan Kanak-Kanak Tidak Harus Dipertahankan (30 November 2018)
email to someone printer friendly


Sisters in Islam amat khuatir dengan pendirian Kerajaan Negeri Kelantan yang enggan menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun malah menganggap perkahwinan kanak-kanak adalah satu keperluan.

Sekali lagi, ini menunjukkan sikap tidak serius Kerajaan Negeri dalam menangani isu perkahwinan kanak-kanak yang sememangnya suatu isu kritikal dan yang memerlukan tindakan segera. Tindakan ini meletakkan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa keadaan sekaligus menjadikan Kelantan ketinggalan dalam mengambil langkah proaktif bagi melaksana polisi dan undang-undang yang melindungi wanita dan kanak-kanak.

Tindakan kerajaan negeri mempertahankan perkahwinan kanak-kanak bertitik daripada Persidangan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur: Penilaian dan Pendekatan Holistik anjuran Kerajaan PAS Kelantan yang diterajui oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik) dan Pertubuhan-pertubuhan Lepasan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) menunjukkan kegagalan kerajaan negeri untuk mengambil iktibar daripada kes perkahwinan kanak-kanak di Tumpat dan Gua Musang yang berlaku pada tahun ini.
Perkahwinan kanak-kanak adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip Maqasid Syariah iaitu prinsip yang mencegah bahaya (dar'u al mafasid muqoddamun ala jalbil masholih) dan konsep Rahmatan Lil Alamin yang mengutamakan kebajikan seluruh alam.  Ia menjadi tanggungjawab kerajaan setempat untuk memberi keadilan dan menentukan hak-hak kanak-kanak dari segi kesihatan, pembelajaran dan perkembangan sosial tidak terganggu oleh faktor-faktor seperti ini.

Tindakan Kerajaan Negeri menolak Konvensyen Me­­­ngenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC) dan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) adalah satu pencabulan hak asasi dan bertentangan dengan ajaran Islam. Kerajaan Malaysia telah pun menandatangani kedua-dua konvensi tersebut. Apakah hak Kerajaan Negeri untuk menafikan dan menolak apa yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan? Kerajaan Persekutuan mesti memandang serius pendirian yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang melibatkan isu keadilan yang berada dibawah bidang kuasanya.

Wanita Kelantan sangat mandiri dan merupakan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negeri. Namun, isu-isu tentang kebajikan  anak-anak perempuan dan wanita  tidak diambil kira secara serius, malah mereka menjadi pajakan permainan politik. Sudah tiba masanya untuk tidak terus menjadikan kanak-kanak dan wanita sebagai mangsa pendirian kerajaan negeri Kelantan yang sudah tiada lagi pegangan dalam realiti kehidupan zaman sekarang.


Sisters in Islam
30 November 2018

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap