Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Temuramah: Al Islam bersama Pengurus Program SIS, Norhayati Kaprawi
email to someone printer friendly

Oleh: Norimanah Seman

SIS nafi dalangi isu Lina Joy

KELANTANGAN Sisters In Islam (SIS) mengeluarkan pendapat dan cadangan mengenai pelbagai isu berkaitan Islam dan wanita Muslim menyebabkan banyak pihak kurang senang. Pandangan badan bukan kerajaan (NGO) itu dianggap oleh beberapa pihak sebagai keterlaluan dan dikatakan bertentangan dengan Islam.

Antara isu-isu yang hangat diperkatakan, dan menjadikan SIS dipandang serong adalah isu aurat, poligami, pengkid, murtad dan persamaan hak. Paling kontroversi sekali SIS dikatakan menjadi dalang kes Lina Joy, yang menggegarkan Malaysia sedikit masa dahulu. Kemudian SIS keluar dengan kenyataan akhbar pada 29 September 2000 yang antara lain menyatakan kebebasan beragama semestinya mengiktiraf kebebasan menukar agama. Bagaimanakah orang Islam boleh menuntut kebebasan agama untuk mereka yang ingin memeluk Islam, dan pada masa yang sama, memegang pendirian yang menidakkan kebebasan bagi mereka yang ingin keluar dan Islam?

Di dalam kenyataan akhbar itu juga SIS menyatakan bahawa jika pihak berkuasa agama sangat bimbang orang Islam akan memeluk agama lain, hukuman dan penahanan bukanlah jalan yang patut diambil. Sebaliknya mereka ini patut diajar dengan baik. Al-Quran memberi kita bimbingan yang jelas mengenai perkara ini dan bukannya dengan menahan mereka dalam pusat-pusat pemulihan selama setahun, dan kemudian mengharapkan mereka mengasihi penindas mereka dan agama yang diwakili oleh penindas mereka.

Itu sebahagian petikan kenyataan akhbar yang dibuat oleh SIS tentang isu murtad. Sebenarnya banyak lagi yang pertubuhan bukan kerajaan ini ingin jelaskan tentang kontroversi yang menyelubunginya. Untuk menjawab semua tohmahan yang dilemparkan, Pengurus Projek SIS, Norhayati Kaprawi memberikan penjelasan kepada AL ISLAM.

AL ISLAM: Adakah kerana SIS dikendalikan oleh golongan yang berpendidikan Barat menyebabkan pegangan serta pandangan mereka lebih kepada Islam yang liberal?

SIS: Ahli dan kakitangan SIS ramai juga yang berpendidikan tempatan seperti UIA dan UITM dan berkelulusan di bidang syariah. Jadi ini bukan pasal pendidikan Barat atau Timur. Pada saya, lawan perkataan liberal adalah "jumud" dan orang yang berfikiran jumud iaitu sempit pemikiran ini pun berbahaya juga. Tokoh Melayu yang kita sanjungi iaitu Pendeta Za'aba pun banyak mengkritik tentang budaya kejumudan yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Orang yang ditohmah sebagai "liberal" ini pun bukan hanya SIS sahaja, malah tokoh-tokoh agama sekalipun akan diserang sebagai "liberal" apabila pemikiran mereka tidak dipahami atau tidak mahu diterima oleh pihak-pihak tertentu. Kita lihat saja keluhan mantan Mufti Perils Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin seorang mufti yang mempunyai sarjana kedoktoran pun tidak terlepas daripada tohmahan dan serangan sedemikian. Saya telah berjumpa dan berdialog dengan ramai juga ulama Islam seperti Syeikh Ali Gomaa dari Mesir, Khatami bekas Presiden Iran, dan Gus Dur bekas Presiden Indonesia. Mereka berfikiran terbuka dalam hanyak hal, termasuk dalam isu-isu hak wanita, dan ada juga orang Islam sendiri menuduh mereka "liberal" dan sebagainya.

AL ISLAM: Dari penjelasan SIS tadi adakah itu membawa maksud memang SIS meletakkan diri sebagai pejuang Islam liberal?

SIS: Masalah liberal atau tidak liberal adalah pandangan orang tertentu saja. SIS tak pernah mengatakan atau melabel diri sendiri sebagai Islam liberal. Itu hanya satu label yang dilontarkan kepada SIS. Entah mengapa sejak akhir-akhir di Malaysia ini bila sebut "liberal" terus dikaitkan dengan"bahaya atau ancaman kepada Islam".

Apa yang saya faham liberal adalah perkataan lawan kepada jumud atau kolot. Sebenarnya perkataan liberal itu satu perkara yang bagus, bermaksud berfikiran terbuka. Yang hairannya, apabila SIS mahu mencari jalan penyelesaian dan mengajak membuka minda, maka terus dituduh sebagai bertentangan dengan Islam. Adakah benar cadangan SIS selama ini bertentangan dengan Islam? Itulah persoalan penting yang harus dijawab oleh orang-orang yang melemparkan tuduhan itu. Setiap hujah dan cadangan SIS tidak bertentangan dengan hukurn Islam.

SIS sentiasa mengajak untuk meneliti sesuatu perkara berdasarkan realiti kehidupan semasa di samping mengambil pandangan serta hujah sarjana dan ulama Islam. Mungkin saja pandangan itu kurang diketengahkan dan belum popular di kalangan masyarakat Islam. SIS adalah sebuah badan NGO aktivis Islam. Tugas kami adalah untuk ketengahkan masalah yang timbul di dalam masyarakat, terutamanya isu-isu wanita. Kami bawa isu ini ke tengah, ajukan soalan dan beri cadangan-cadangan untuk memperbaiki keadaan.

Maka seharusnya pihak-pihak berkenaan menilai realiti hidup masyarakat Malaysia dan turut menyelesaikan masalah. Tapi janganlah bila kita tanya dan beri cadangan, terus mahu tuduh SIS menentang Islam, terkeluar daripada Islam, ejen Barat, ejen Zionis dan macam-macam lagi.

AL ISLAM: Bila menyebut tentang pandangan Islam liberal ia seolah-olah sedikit menakutkan. Persoalannya sekarang perlukah pandangan Islam yang liberal untuk menjadikan kita masyarakat moden dan maju? Adakah Islam liberal diterima pakai di Malaysia.

SIS: Tentu saja. Dari awal penubuhan Malaysia, memang ketua-ketua negara kita telah pun mengambil sikap dan sudut pandangan yang liberal bagi memenuhi tuntutan realiti kehidupan masyarakat Malaysia yang majmuk, dan juga bagi membawa Malaysia maju ke depan. Jangan lupa bahawa perkataan "liberal" ini telah lama sebati dalam wawasan Malaysia. Sejak mula lagi, Rukunegara Malaysia telah menyatakan dengan jelas "Bahawasanya negara kita mendukung cita-cita hendak.... menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya, dan pelbagai corak, serta membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden".

Malah Pas pun sekarang sedar hakikat ini, iaitu Pas tidak mungkin dapat menambat hati rakyat jika pati itu terus mengambil sikap jumud dan tidak terbuka. Maka Pas pun membuat "rebranding" dan berusaha keras untuk mengubah imejnya agar ia dilihat lebih moderat dan liberal. Sebagai contoh, kalau dulu media Pas memomok-momokkan Pak Lah jadi pengerusi mengawal virus JE kerana ia melibatkan babi, sekarang kita lihat Pas menyokong penuh projek mega penternakan babi di Selangor dan sebagainya. Pas juga menyokong penuh perjuangan Hindraf. Ini menunjukkan malah Pas pun tahu bahawa mahu tidak mahu, parti mereka mesti diihat sebagai relevan dan dapat respons kepada realiti masyarakat Malaysia yang majmuk dan moden.

AL ISLAM: Mengapa di dalam banyak hal SIS dilihat terlalu menentang fatwa yang dikeluarkan oleh mufti?

SIS: Mana-mana pandangan yang baik dan bermanfaat untuk masyarakat, tidak kiralah dari siapa pun, tentu saja SIS terima. Tetapi jika ada pandangan atau peraturan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak itu tidak bertepatan, ataupun boleh mengakibatkan rakyat teraniaya atau tertindas, maka SIS akan memberi timbal balas agar perkara tersebut dibincang dan dikaji semula. Dalam sembahyang pun, apabila imam solat membuat kesilapan, makmum mempunyai hak penuh untuk menegur dan membetulkan imam. Ini perkara pokok dalam Islam.

Tiada siapa yang maksum dan benar sentiasa. Ulama juga manusia biasa yang tidak lari daripada membuat kesilapan. Kita harus mencontohi sikap yang diambil oleh alim ulama agung zaman dahulu. Mereka tidak pernah mendabik dada rnengatakan hanya pendapat mereka saja yang benar, dan sentiasa memberi ruang untuk berhujah serta bertukar pendapat.

Dalam sejarah Islam, khalifah-khalifah sering menyatakan agar rakyat menyokong mereka selagi mana mereka benar, dan rakyat berhak untuk menegur atau tidak menyokong tindakan pemerintah jika ia tidak betul. Saya rasa ramai tahu mengenai kisah seorang perempuan yang mencabar keputusan Sayidina Umar r.a dalam isu mahar atau mas kahwin. Perempuan tersebut tidak bersetuju, dan menentang cadangan Sayidina Umar r.a yang mahu menetapkan kadar mahar. Dia mengatakan Umar r.a tidak boleh merampas hak yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. kepada orang perempuan, iaitu dalam menetapkan kadar mahar atau mas kahwin. Umar tidak sekali-kali mempertikaikan kewibawaan atau tahap keilmuan wanita tersebut.

Walhal Sayidina Umar bukan sahaja seorang khalifah, malah beliau seorang sahabat Nabi s.a.w. yang dijamin syurga, dan juga seorang yang arif dalam hal ehwal agama Islam. Sayidina Umar dengan jelas mengatakan bahawa apa yang dikatakan wanita itu adalah benar, dan mengaku bahawa beliau yang telah membuat kesilapan. Maka, riwayat ini jelas menunjukkan bahawa orang awam juga berhak untuk bertanya, meminta pemerintah atau ulama mengkaji semula pendapat, dan peraturan mereka sekiranya peraturan itu bertentangan dengan kehendak atau maksud agama, atau telah merampas hak rakyat, atau mendiskriminasi rakyat.

AL ISLAM: Jika itu yang SIS jelaskan, jadi di mana akhirnya nanti Islam yang akan diperjuangkan oleh SIS?

SIS: Islam yang SIS mahukan adalah Islam yang menjunjung dan mendukung prinsip keadilan dan kesaksamaan, yang sentiasa menganjurkan kasih sayang, menghormati hak-hak dan maruah setiap insan; perempuan dan lelaki. Islam juga mendukung prinsip demokrasi yang mengambil kira pandangan setiap rakyat, dan menghormati hak setiap rakyat iaitu perempuan, lelaki, Islam, bukan Islam, untuk menyuarakan pandangan dan kritikan mereka.

SIS berjuang agar setiap insan atau rakyat, terutama sekali orang perempuan, tidak didiskriminasi, dianiaya dan ditindas oleh mana-mana pihak termasuk oleh pihak berkuasa. Dalam isu wanita terutamanya, SIS menyeru agar semua pihak mengambil kira keadaan dan realiti kehidupan masyarakat Malaysia dalam membuat sebarang keputusan, dasar dan undang-undang. lni penting bagi memastikan sesuatu dasar dan undang-undang itu memberi keadilan dan kesaksamaan kepada wanita Malaysia.

AL ISLAM: Setelah begitu lantang menyuarakan pendapat dan cadangan setakat ini, sejauh mana pendapat dan pandangan SIS didengar oleh penggubal undang-undang dan diterima pakai.


SIS: Alhamdulillah, pada awal 1990-an, kerajaan Malaysia telah menerima pakai saranan SIS dan NGO-NGO wanita lain, untuk mewujud dan memperuntukkan Akta Keganasan Rumah Tangga di Malaysia. Ini kejayaan besar untuk SIS dan teman-teman NGO yang telah berusaha lebih kurang 12 tahun dalam membuat kajian, dan melobi kerajaan untuk melaksanakan akta tersebut. Jadi, sekarang semua wanita di Malaysia bolehlah membuat laporan polis sekiranya dia dipukul atau didera oleh suami atau mana-mana ahli keluarga.

Di hujung 1990-an pula, SIS telah meminta kerajaan agar memberi hak kepada wanita Islam dalam urusan anak-anak mereka. Sebelum itu, hanya suami saja yang boleh menandatangani borang-borang untuk memberi kebenaran dalam hal persekolahan anak, pembedahan anak dan permohonan pasport anak.

Maka, apabila kerajaan Malaysia mempertimbangkan usul SIS, maka sejak itu hingga ke hari ini, para ibu pun boleh menurunkan tandatangan untuk urusan-urusan persekolahan anak, permohonan pasport dan pembedahan anak-anak mereka. Pada akhir 2005, apabila SIS memberi timbal balas terhadap pindaan Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) 2005, pihak kerajaan juga telah menjemput SIS untuk berbincang dengan jabatan-jabatan kerajaan, NGO Islam yang lain dan sebagainya. Kerajaan telah pun memberi pertimbangan terhadap saranan-saranan SIS untuk memperbaiki UUKI Malaysia.

Jadi, SIS bersyukur kerana usaha kami telah dapat membantu memperbaiki taraf hidup wanita Islam di Malaysia.

AL ISLAM: Bagaimana pula dengan isu aurat yang mengatakan SIS menolak pemakaian tudung di kalangan wanita Islam?

SIS: Pada SIS, tidak boleh ada paksaan. Terpulang kepada individu, kita tidak boleh paksa orang pakai tudung dan tidak boleh paksa orang buka tudung. Ramai orang yang suka menuduh SIS bukan-bukan, tapi tidak pernah buka website SIS, dan tidak mahu datang jumpa SIS bagi mendapatkan keterangan.

Mereka menuduh bukan-bukan berdasarkan prasangka. Isunya jelas, bahawa tidak ada paksaan di dalam pemakaian tudung. Kalau di Barat memaksa wanita buka tudung pun, SIS menentang juga.

AL ISLAM: Beralih pula kepada isu yang kontroversi suatu masa dahulu, iaitu kes Lina Joy. Ada yang mengatakan SIS menjadi dalang utama di dalam kes Lina Joy. Sejauh mana kebenaran tohmahan itu?

SIS: Saya rasa semua orang tahu, dan hal ini juga telah diutarakan oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, mantan Mufti Perils, iaitu sebaik saja seseorang Islam itu berniat untuk keluar agama Islam dan tidak Jadi, isu sama ada kita hendak beri dia kebenaran atau tidak, tidak sepatutnya timbul. Itu bukan hak manusia. Urusan iman adalah urusan Allah dan hamba-Nya.

Sebagai manusia, kita boleh menasihati dan memujuk, tapi tidak boleh memaksa seseorang untuk beriman dengan Allah, atau untuk tidak beriman. Ini jelas dalam Islam - tiada paksaan dalam agama. SIS tidak pernah menyuruh Lina Joy untuk keluar agama Islam, tetapi kami berpendapat, hasrat beliau harus dihormati. Tiada siapa berhak menghalangnya kerana Perlembagaan Malaysia telah jelas menjamin hak kebebasan beragama dan seperti yang saya katakan tadi, Islam jelas menyatakan bahawa tiada paksaan dalam agama.

AL ISLAM: Di mana pendirian SIS dalam isu-isu yang sensitif seperti Lina Joy?

SIS: Mengikut fakta, Lina Joy bukanlah orang pertama di Malaysia yang mahu, atau pernah keluar Islam. Menurut kajian pensyarah UiTM, Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, kerajaan Malaysia telah pun meluluskan beratus-ratus orang yang mahu keluar agama Islam. Di Negeri Sembilan, memang ada prosedur untuk keluar agama Islam.

Jadi, ini bukan perkara baru, dan ternyata ulama-ulama serta pengamal undang-undang syariah Malaysia telah lama mengambil sikap terbuka atau "liberal" dalam hal penukaran agama ini. Yang saya hairan, bila ada orang yang nak keluar agama seperti Lina Joy atau Puan Kamariah Ali (seorang ustazah lulusan al-Azhar), maka bersepakatlah sesetengah pihak untuk berdemonstrasi dan sebagainya untuk mengatakan dia tidak boleh keluar Islam dan tidak akan mengaku orang itu telah keluar Islam.

Tetapi kadang-kadang puak-puak sebegini jugalah yang cepat sungguh menuduh orang-orang Islam yang tidak ada niat langsung pun untuk keluar Islam, sebagai murtad, kafir dan sebagainya hanya kerana perbezaan pendapat atau berbeza aliran politik. Ucapan dan tindakan manusia boleh dilihat, tetapi tiada seorang manusia pun yang boleh"control" atau mengawal detik hati, niat dan iman seseorang. Kita semua harus ingat bahawa iman dan hidayah adalah urusan Allah s.w.t. semata-mata.

AL ISLAM: Setelah banyak isu yang berlaku di dalam negara, dapat dilihat SIS lebih suka menjadikan sesuatu isu kontroversi, menimbulkan kemarahan, perasaan kurang senang dan curiga. Apa komen SIS?

SIS: Sudah menjadi lumrah, apabila ada sesuatu pandangan, idea atau usaha-usaha baru yang tidak pernah didengar atau dilihat sebelumnya, maka mudah untuk berasa marah, benci dan curiga. Rasulullah s.a.w. sendiri pun menerima banyak kritikan dan cacian daripada masyarakat baginda pada masa itu. Ramai tokoh Islam seperti Muhammad Abduh, dikritik hebat oleh masyarakat Islam sendiri. Tapi akhirnya, masyarakat sedar apa yang mereka utarakan adalah demi kebaikan umat Islam, dan umat manusia.

Pada SIS, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memberi pandangan dan timbal balas bagi memastikan hak rakyat, terutama sekali hak wanita Islam sentiasa terjamin.

AL ISLAM: Akhir sekali, yang terbaru apabila fatwa mengharamkan pengkid, sekali lagi SIS keluar dengan pendapatnya. Sebenarnya bagaimana pendirian SIS terhadap isu pengkid?

SIS: Kalau kita ingat dulu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz pernah menyarankan agar wanita-wanita cantik tidak diberi keutamaan dalam pemberian kerja kerana beliau beranggapan wanita cantik senang dapat suami kaya. Persoalan utamanya adalah siapa yang akan menilai sama ada seseorang wanita in cantik atau tidak? Akan marahlah bapa, ibu, suami atau kekasih wanita itu jika dikatakan anak atau pasangannya itu tidak cantik. Orang putih kata "beauty is at the eye of the beholder" , "cantik itu di mata masing-masing". Maka, isu tomboi ini begitu juga... siapa yang akan menilai seorang wanita itu kelihatan seperti tomboi atau tidak?

Tidak semestinya seorang perempuan yang memakai seluar panjang, berbaju kemeja atau berambut pendek itu seorang tomboi. Fesyen pakaian pada masa ini sudah pelbagai ragam. Malah yang memakai tudung tetapi berkelakuan seperti lelaki, maka adakah wanita itu juga akan dikatakan tomboi? Jadi, ini perkara penting yang harus difikirkan oleh pembuat dasar dan undang-undang. Jadi, SIS tidak mahu adanya wanita, terutama sekali remaja-remaja perempuan, dikacau dan diugut oleh pegawai-pegawai penguat kuasa yang tidak membuat pertimbangan betul. Kita tak mahu ada wanita ditahan, dan masuk lokap tak pasal-pasal.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap