Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Wali hakim - Ayah enggan
email to someone printer friendly


Soalan :

Assalamualaikum Sis,

Saya dan tunang bakal melangsungkan perkahwinan hujung bulan ini. Namun demikian, telah berlaku salah faham antara saya dan bapa sehingga menyebabkan bapa enggan menjadi wali. Puas sudah saya meminta maaf dan memujuk, bapa masih berdegil. Saya berasa sedih kerana perkahwinan yang diidamkan seperti tiada restu dari bapa. Sekiranya bapa masih enggan, apakah cara-cara untuk saya memohon menggunakan wali hakim? Dalam keadaan apakah wali hakim boleh digunakan?

Anak Abah,
Cheras, Kuala Lumpur

Jawapan :

Antara rukun nikah adalah wali. Namun demikian, ada kalanya, pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan boleh menggunakan wali hakim. Adalah wajar jika kita merujuk kepada pengertian wali secara umum dan pembahagiannya. Kemudian kita ikuti dengan penjelasan tentang wali hakim: definisi, kedudukan dan sebab-sebab yang membolehkannya berperanan di dalam sesuatu perkahwinan?
Wali dalam urusan perkahwinan ialah seorang yang memiliki kuasa mengahwinkan seseorang anak perempuan sama ada dia adalah penjaganya ataupun bukan.

Kewujudan wali adalah penting bagi mengesahkan sesuatu perkahwinan. Wali (di dalam Mazhab Shafi`i) merupakan salah satu rukun perkahwinan. Tanpa wali atau keizinannya kepada wakilnya, sesuatu perkahwinan itu di hukum tidak sah. Hukum ini adalah merujuk kepada sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Siapa sahaja perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya itu batal (tidak sah), jika dia disetubuhi (oleh lelaki yang mengahwininya itu) maka dia berhak mendapat maskahwin kerana dia (iaitu lelaki itu) telah menghalalkan kemaluannya dan jika mereka (iaitu para wali) berbalah, maka sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali (riwayat al-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi dan Abu Daud al-Tayalisi).

Berdasarkan kepada Hadis di atas, ulama' membahagikan wali kepada dua peringkat; iaitu wali nasab dan wali hakim atau disebut juga sebagai wali sultan.
Wali nasab ialah orang yang mempunyai pertalian keturunan dengan seseorang perempuan yang bakal berkahwin, seperti bapanya, datuknya dan lain-lain.

Wali hakim ialah Ketua Negara Islam atau wakilnya seperti Kadi Besar, Kadi-kadi Daerah atau mereka yang mendapat tauliah daripada Pejabat-pejabat Kadi Daerah, biasanya mereka ini terdiri daripada imam masjid, bilalnya atau seorang alim kampung.

Wali hakim bertindak sebagai wali kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Menurut Seksyen 2(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinankan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab. Terdapat beberapa situasi di mana wali hakim boleh digunakan.

Pertama: Tidak ada wali nasab
Bagi pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali nasab seperti mereka yang baru memeluk islam dan tiada saudara maranya yang memeluk Islam, atau perempuan yang tidak mempunyai wali langsung, maka wali hakim yang akan menjadi wali dalam perkahwinannnya, Rasullah saw bersabda  “Sultanlah menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali,”( Riwayat al Khamsak).

Kedua : Anak tidak sah taraf atau anak angkat
Anak tidak sah taraf atau anak yang lahir sebelum adanya perkahwinan yang sah. Sekiranya anak yang tidak sah taraf itu perempuan dan semasa dia berkahwin maka walinya ialah wali hakim. Begitu juga dengan anak angkat. Jika anak angkat itu berasal daripada anak tidak sah taraf maka walinya adalah wali hakim kerana anak itu dianggap tidak mempunyai wali nasab.

Ketiga : Wali yang ada tidak cukup syarat
Sekiranya wali aqrab tidak mempunyai cukup syarat untuk menjadi wali maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali ab’ad mengikut tertib wali. Syarat-syarat sah menjadi wali ialah, Islam, baligh, berakal (orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali), lelaki, adil dan merdeka. Sekiranya satu-satunya wali yang ada tidak cukup syarat dan tidak ada lagi wali yang lain, maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali hakim.

Keempat : Wali aqrab menunaikan haji atau umrah
Jika wali aqrab menunaikan haji atau umrah maka hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah kepada wali ab’ad, tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim. Ini adalah terkandung dalam kitab Minhaj Talibin dalam bab Nikah. Sekiranya wali aqrab itu membuat wakalah wali sebelum membuat haji atau umrah atau semasa ihram maka wakalah wali itu tidak sah. Rasullullah saw bersabda: ”Orang yang ihram haji atau umrah tidak boleh mengahwinkan orang dan juga tidak boleh berkahwin’ (Riwayat Muslim).

Kelima : Wali enggan
Mengikut pendapat para Fuqaha bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak. Perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.

Menurut Jumhur Fuqaha (Shafi’e, maliki dan hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya. Rasullullah s.a.w. bersabda: Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali (Riwayat Abu Daud dan At-Tamizi).

Dalam kes Azizah bte Mat lawan Mat b Salleh (1976, Jld.11.1JH) mengenai wali enggan di Mahkamah Kadi Perlis, Yang Arif telah memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali Raja atau Hakim untuk berkahwin. Kadi menyatakan: Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang wali itu tidak mahu mewakilkan nikah anaknya kerana enggan atau berselisih faham, maka bolehlah dinikahkan perempuan itu dengan wali hakim atau wali raja dengan alasan:

Pertama : Dari riwayat Abu Daud, Ahmad dan At-tamizi,Aishah r.a meriwayatkan Nabi s.a.w. telah bersabda : ‘Jika mereka berselisih, maka Sultan atau Rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali’.

Kedua : Rasullullah s.a.w. bersabda : ‘Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar. Ini daripada riwayat At-Tamizi).
Ini bermakna wali yang enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.

Dalam situasi yang dihadapi oleh saudari, maka saudari bolehlah membuat permohonan wali hakim kepada mahkamah di bawah seksyen 13 (b) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah)

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap