Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Cerai Taklik - Prosedur Perlu Dipatuhi
email to someone printer friendly

Soalan:

Suami saya tidak balik ke rumah dari tahun 1990 dan sudah berkahwin lagi. Sudah 10 tahun saya tidak berjumpa dengannya dan saya telah membuat tuntutan taklik pada 1994 dan tuntutan fasakh pada 1997. Fail kedua-dua tuntutan tersebut telah ditutup mahkamah dengan alasan saya telah menerima nafkah dari suami (hasil daripada fail 1994), oleh itu tidak boleh menuntut cerai.

Suami telah berkata bahawa dia tidak akan menceraikan saya. Saya tidak boleh berterusan digantung tak bertali. Saya mahu meneruskan kehidupan seperti orang lain. Apakah yang patut saya lakukan sekarang?

- Faezah Moin

Jawapan:
Perkahwinan adalah sebahagian daripada sunah Rasulullah s.a.w yang dituntut ke atas setiap orang muslim yang berkemampuan untuk menunaikannya.

Setelah seseorang itu berkahwin maka dituntut ke atas mereka untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab dan kewajipan hidup sebagai suami isteri. Sesungguhnya asas dan corak pembinaan sebuah keluarga amat penting bagi kelangsungan sesebuah perkahwinan.

Islam sendiri menggariskan sifat-sifat yang harus diberi keutamaan dalam memilih calon.
Perkahwinan sebenarnya adalah satu ikatan sah kasih sayang yang mengiktiraf sifat tabie manusia yang dianugerahkan akal dan nafsu. Atas sifat ini manusia mempunyai ikhtiar, perasaan dan naluri untuk mencintai dan dicintai serta mencapai kebahagiaan.

Namun, ada rumah tangga yang dibina bermasalah dan tidak berpanjangan. Masalah ini boleh timbul daripada pelbagai punca sama ada disebabkan faktor keadaan atau kecuaian dalam menyempurnakan tanggungjawab masing-masing.

Kebiasaannya banyak masalah boleh diselesaikan, namun ada juga yang tidak berminat mengusahakannya atas sebab tiada lagi kasih sayang dan perasaan saling menghormati di antara pasangan.

Oleh kerana perkahwinan itu sendiri adalah satu ikhtiar maka Islam membenarkan perceraian. Dalam keadaan sesebuah perkahwinan itu tidak lagi membawa kebahagiaan setelah langkah perdamaian diusahakan, maka perceraian itu akan menjadi satu kewajaran.

Kaedah berumahtangga ada dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 321 yang bermaksud; Layanilah (isteri kamu) mereka itu secara baik atau pisahlah (isteri kamu) mereka itu secara baik. Rasulullah s.a.w sendiri banyak memberi pengajaran dan teladan bagaimana cara bermuamalah dengan isteri dengan cara yang baik.

Ini adalah sebahagian daripada prinsip sosial Islam yang tidak membenarkan para suami untuk menganiaya pasangan mereka seperti gantung tidak bertali.

Fakta kes yang dibentangkan di sini agak umum dan sukar dijawab secara terperinci. Bagaimanapun, ada kemungkinan mahkamah tidak membenarkan permohonan perceraian itu kerana ada kelemahan daripada segi tahap pembuktian dan kesilapan prosuder.

Harus disedari bahawa mahkamah terikat dengan sistem pembuktian yang bergantung kepada tuduhan atau tuntutan yang dibicarakan.

Kata-kata suami puan tidak menghalang mahkamah untuk memfasakhkan perkahwinan puan, apa yang dihakimi ialah perlakuan cuai atau tidak bertanggungjawab suami dan lafaznya yang boleh membubarkan sesebuah perkahwinan.
Berhubung dengan kes taklik, syaratnya adalah bergantung kepada lafaz taklik. Taklik boleh dibuat dalam berbagai keadaan dan bentuk. Sesuatu lafaz yang mengaitkan perceraian jika berlakunya sesuatu sama ada perbuatan, percakapan dan keadaan boleh membubarkan perkahwinan apabila berlakunya apa yang dikaitkan dengan perceraian.

Taklik sebegini tidak mudah untuk dibuktikan jika si suami tidak mengakuinya, apatah lagi lafaznya itu tidak dibuat secara bertulis dan bersaksi. Taklik juga tertakluk kepada syarat-syarat sahnya.

Jika taklik seperti dalam surat perakuan taklik yang diamalkan sekarang maka permohonan itu mungkin ditolak kerana tidak ada bukti yang menyokong dakwaan bahawa suami puan tidak balik rumah melebihi empat bulan berturut-turut tanpa memberi nafkah zahir dan batin.

Pengakuan bahawa puan ada menerima nafkah dalam tempoh di atas telah dengan sendirinya mengagalkan permohonan tersebut. Perceraian secara taklik hendaklah mengikut prosuder yang ditetapkan. Sebagai contoh 50 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) memperuntukan bagaimana perceraian bawah taklik boleh disahkan oleh Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Bagi permohonan perceraian secara fasakh, keadaan yang membolehkan perceraian atas kaedah sedemikian mestilah dibuktikan. Kemungkinan tiada keterangan bebas atau bukti yang ada tidak memuaskan hati mahkamah.
Keadaan yang dimaksudkan bolehlah dirujuk kepada Enakmen atau Akta Undang-Undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa dan terpakai atas kes puan.

- Wan Ahmad Fauzi Husain dari Tetuan WA Fauzi & Co.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap