Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Mahkamah Syariah - Sahkan Perceraian Melalui SMS
email to someone printer friendly


Soalan:
Suami saya telah menghantar pesanan melalui telefon (SMS) kepada saya yang menyatakan dia menceraikan saya dengan talak tiga. Perkara ini berlaku disebabkan pertelingkahan kecil di antara kami dan suami sedang berada dalam keadaan amat marah sehingga tidak sedar apa yang ditulisnya.

Apakah talak tiga telah jatuh? Sehingga kini saya masih belum membuat apa-apa pengaduan. Adakah saya perlu melaporkannya ke Mahkamah Syariah?

Minah,
Johor Bahru

Jawapan:
Ikatan perkahwinan merupakan rahmat Allah kepada hambanya. Ia telah digambarkan melalui surah Al-Baqarah: 187, Isteri kamu pakaian kamu, kamu pula pakaian mereka.

Perkara utama yang harus ditentukan di sini ialah sama ada talak telah jatuh melalui pesanan SMS. Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa menentukan kesahihan sesuatu lafaz cerai. Ini adalah berdasarkan Seksyen 45 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Terdapat dua jenis perceraian iaitu di dalam (dengan izin) dan di luar (tanpa izin) mahkamah. Puan harus memohon pengesahan perceraian tersebut di bawah Seksyen 55A. Seksyen tersebut memperuntukkan kepada mahkamah kuasa untuk mengesahkan dan mendaftarkan perceraian yang berlaku di luar mahkamah.

Pihak mahkamah dalam membuat pengesahan perceraian terlebih dulu mengadakan siasatan bagi memastikan lafaz talak itu sah mengikut hukum syarak. Sekiranya mahkamah berpuas hati mengenai lafaz cerai tersebut, maka ia adalah tertakluk di bawah Seksyen 124 untuk membuat perintah membenarkan perceraian, merekodkan dan memberitahu kepada pendaftar.

Berbalik kepada persoalan bagaimana hendak menentukan sah atau tidaknya sesuatu perceraian di luar mahkamah. Mahkamah akan melihat kepada rukun-rukun perceraian atau talak.

Apabila sempurna kesemua rukun talak maka sabitlah perceraian. Di dalam kitab Banatu ak-Talibin telah dinyatakan mengenai lima rukun talak iaitu, suami, lafaz yang digunakan, diqasadkan (diniatkan) kepada siapa talak itu, isteri dan talak itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami.

Asas mensabitkan berlaku atau tidak perceraian melalui pesanan SMS memerlukan kepada keyakinan daripada suami bahawa sememangnya beliau yang menulis pesanan SMS tersebut secara sengaja tanpa paksaan dan ditujukan khas kepada isteri.

Ini bertepatan dengan kaedah Fekah, iaitu tulisan itu adalah diiktibarkan syarak sama seperti perkataan yang dilafazkan di dalam perceraian. Menjadi suatu kewajipan untuk menghilangkan sebarang perasaan was-was atau ketidakpastian dalam menjatuhkan talak.

Jika wujud ketidakpastian dalam salah satu daripada kelima-lima syarat talak maka perceraian tersebut tidak jatuh. Kebiasaannya mahkamah akan meminta suami melakukan sumpah syarie terhadap pesanan SMS yang dimaksudkan.
Jika telah sabit kepastian melalui lafaz sumpahnya maka jatuhlah talak tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab puan dan suami untuk berlaku jujur di dalam perkara ini demi menghilangkan perkara subahat yang melingkari ikatan pernikahan puan.

Mengenai perceraian dalam keadaan marah, timbul perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai sama ada gugur atau tidak talak itu.

Mengikut sebahagian ulama, jatuh talak yang dilafazkan dalam keadaan marah kerana perasaan tersebut masih boleh dikawal oleh seseorang. Antara lain, orang yang dalam keadaan marah tidak termasuk dalam golongan orang yang terkeluar daripada beban taklif.

Manakala mengikut pendapat Ibnu Qayyim, beliau telah membahagikan marah ini kepada tiga keadaan yang berbeza dan turut berbeza hukum talak pada ketika itu.

Keadaan pertama, marah yang dapat dikawal perasaan dan fikiran sepenuhnya. Talak yang dilafazkan pada ketika ini dihukumkan jatuh.

Kedua, keadaan marah yang sampai ke tahap seolah-olah hilang akal, iaitu tidak sedar mengenai apa yang diperkatakan. Jumhur Ulama sepakat berpendapat talak yang dilafazkan tidak gugur kerana disamakan dengan orang gila yang hilang akal dan tidak lagi memikul beban taklif.

Ketiga ialah marah yang berada antara tahap pertama dan kedua. Marah pada tahap ini diperselisihkan ulama pada hukumnya dan perlu juga dilihat kepada aspek dalil, selain mempertimbangkan suasana perceraian ini berlaku serta maslahah dan kepentingan anak-anak.

Justeru, sebagai langkah menentukan sama ada jatuh atau tidak lafaz perceraian dalam keadaan marah, hendaklah dimaklumkan kepada Mahkamah Syariah memandangkan ia mempunyai bidang kuasa menentukan kesahihan perceraian yang dilafazkan di dalam keadaan marah.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap