News Item: : Utusan Malaysia - Bolehkah kita matang berbincang tentang poligami?
(Category: Media > Media Statements)
Posted by webmaster
Sunday 07 January 2007

ACARANYA tayangan amal filem Berbagi Suami tetapi suasana di luar sinepleks yang semua 10 panggungnya ditutup khusus untuk tayangan istimewa itu ada tanda-tanda bahawa ini bukan sebuah filem biasa. Filem ini nampak agak sedikit luar biasa, atau setidak-tidaknya perhatian yang diberikan kepada filem arahan Nia Dinata, seorang pengarah terpenting dalam sinema Indonesia masa kini itu yang sebenarnya luar biasa.

Ada dua perkara yang menarik perhatian saya secara peribadi, dan tentunya orang lain juga. Pertama, ada meja panjang di luar panggung tempat menjual buku dengan tajuk-tajuk seperti Islam dan Poligami, Adakah Wanita dan Lelaki Saksama di sisi Allah? sehinggalah kepada Perkahwinan dan Perceraian di bawah Undang-Undang Islam. Kedua, tayangan amal untuk badan bukan kerajaan Sisters in Islam itu turut dihadiri oleh Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahaya.

“Jadi Mufti Perlis bukanlah satu-satunya mufti yang cool di negara ini,” kata Pengarah SIS, Zainah Anwar dan disambut tepuk tangan ramai di kalangan hadirin.

(Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin baru-baru ini menjadi tumpuan umum setelah kenyataannya meminta supaya kaedah penguat kuasa agama mengintip dan menyerbu bilik-bilik hotel untuk menangkap pasangan yang berkhalwat dan kemudian dibesar-besarkan di media dihentikan segera kerana ia mengaibkan pasangan yang terlibat. Amalan itu, katanya, bukan cara yang betul untuk mencegah kemungkaran.)

Berbagi Suami ialah sebuah filem yang mengangkat permasalahan poligami – subjek yang begitu tabu bukan saja di Indonesia malah sering menimbulkan kontroversi yang tidak kurang besarnya di kalangan masyarakat di negara ini.

Filem yang disifatkan oleh seorang pengulas filem di Indonesia sebagai “benchmark untuk filem Indonesia supaya kita tidak lagi malu dan dipermalukan” ini membedah permasalahan sekitar poligami melalui tiga cerita dari tiga latar watak-wataknya yang berbeza – Salma, pakar sakit puan; Siti, gadis kampung yang datang ke Jakarta untuk mencapai cita-citanya dan Ming, gadis Cina pelayan di restoran itik panggang yang bermimpi mahu jadi pelakon.

“Saya percaya dengan mengangkat pengalaman tokoh-tokoh wanita ini melalui filem, saya boleh membuatkan orang lelaki dan wanita memahami masalah yang mendasari (poligami),” kata Nia.

Kalau filem-filemnya dijadikan ukuran, Nia selalu tampil dengan mengejutkan. Kalau berkreativiti itu misalnya adalah bermain di lapangan yang dipagari lapis demi lapis kawat duri, dia selalu cuba mahu membuka halangan itu supaya ruang bermain menjadi lebih luas.

Filem sulung arahannya, Ca Bau Kan merupakan filem pertama pascazaman Orde Baru yang memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada kaum Tionghua di Indonesia, malah judulnya juga dalam bahasa Cina – bahasa yang dilarang serba-serbi penggunaannya oleh pemerintah sejak kudeta tahun 1965-1966 yang menjatuhkan Sukarno. Filem keduanya, Arisan! pula mengangkat tema homoseksual dan semacam lantang mahu berteriak bahawa kelompok itu ada dalam masyarakat besar Indonesia yang majoritinya Muslim.

Menurut Nia, dia selama ini memang cukup tertarik untuk menyelongkar fenomena sosial yang ada dalam masyarakat untuk diangkat ke filem. “Poligami adalah bahagian yang mencabar kerana di dalamnya ada banyak konflik, mulai daripada konflik suami isteri, konflik sesama isteri-isteri mahupun konflik antara orang tua dan anak-anak,” jelas pengarah berusia 36 tahun itu.

Poligami sememangnya satu subjek yang selalu menarik perhatian umum. Tetapi seperti yang ditulis oleh Prof. Dr. Siti Musdah Mulia dalam kata pengantar buku Berbagi Suami: Fenomena Poligami di Indonesia – Skenario dan Cerita di Balik Layar, ia selalu dibahaskan dari aspek keagamaan dan jarang pula disorot dari sisi psikologi, sosiologi, antropologi mahupun seksologi.

Poligami sering pula dikaitkan dengan Islam, dan dalam hal itu, Dr. Musdah yang juga menulis buku, Islam Menggugat Poligami bertanya: “Apakah betul Islam mengajarkan poligami? Apakah benar Rasulullah mengamalkan poligami? Dan bagaimana seharusnya kita membaca teks- teks agama yang secara tekstual memperkatakan mengenai poligami?”

Zainah mengakui bahawa debat mengenai subjek ini tidak pernah selesai. Katanya, orang lelaki tidak mahu ia dilarang atau urusannya disulitkan, dan bukan itu saja, “mereka menggunakan agama untuk memberi justifikasinya.”

“Tetapi kita tahu (mengamalkannya) daripada kes-kes mahkamah laporan-laporan akhbar dan majalah, betapa banyaknya kesedihan dan penderitaan dalam sebuah perkahwinan poligami,’’ tegas Zainah.

Ismail yang diminta pandangannya sebagai ahli agama melihat ada kekeliruan di kalangan umat Islam mengenai poligami. Beliau melihat bahawa teks-teks agama yang sering digunakan untuk membahaskan tentang poligami selalu telah disalahtafsirkan.

“Saya tidak kata tidak boleh langsung berpoligami kerana ia ada dalam Islam cumanya ia tidak digalakkan. Dalam keadaan tertentu yang boleh, memang ia dibolehkan,” katanya, sambil berharap pandangannya itu tidak disalahertikan.

Merujuk kepada ayat 3 dari surah an-Nisa: Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: Dua, tiga atau empat, Ismail berkata, orang hanya berhenti setakat itu tetapi tidak melihat lanjutan ayat tersebut yang menuntut sekiranya seseorang itu tidak dapat berlaku adil kepada isteri-isteri yang dikahwininya, nikahilah seorang saja.

“Poligami itu bukannya satu hak bagi suami,” kata Ismail, yang turut mengingatkan bagaimana Rasulullah sendiri tidak memberikan persetujuan anaknya Fatimah az-Zahra dimadu ketika Saidina Ali Abi Talib menyatakan hasrat mahu berpoligami.

Banyak orang mungkin tidak bersetuju dengan pandangan Mufti Perlis itu, sama seperti banyak orang tidak pernah bersetuju dengan pendirian Sisters in Islam selama ini. Malah banyak juga orang yang resah melihatkan betapa eratnya hubungan Ismail dengan badan yang mempunyai pandangan yang dikatakan begitu kontroversial mengenai Islam itu.

“Saya tahu ramai orang marahkan saya kerana terlibat dengan program-program mereka sehingga menuduh saya macam-macam. Tetapi apa yang saya lakukan ini adalah untuk agama. Kalau bukan kita yang mendekati mereka, siapa?” katanya.

Debat mengenai poligami memang tidak akan selesai, dan akan selalu ada pandangan yang bertentangan. Di Indonesia pun sekarang ini, sejak pendakwah terkenalnya, Abdullah Gymnastiar alias Aa Gym menikah dua, seluruh negara itu heboh berbincang mengenai poligami. Perbincangan itu jadi cukup hangat dan memaksa Presiden Susilo Bambang Yudhiyono untuk ikut campur tangan dan akhirnya mencadangkan supaya undang- undang mengenainya dilihat semula.

Nah, setidak-tidaknya filem Berbagi Suami yang akan ditayang di pawagam-pawagam seluruh negara mulai Khamis ini seharusnya boleh membuka ruang kepada kita untuk berbincang dengan lebih waras mengenai fenomena poligami.

“Kita boleh berbincang, dan semestinya kita berbincang, tetapi biarlah dengan ilmu dan secara matang, dan bukannya dengan emosi,” kata Ismail. - NOOR AZAM SHAIRI

Downloaded from: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm


This news item is from Sisters In Islam
( http://www.sistersinislam.org.my/news.php?extend.86 )